GEJALA ketara pesakit barah leher ialah bengkak pada leher.
GEJALA ketara pesakit barah leher ialah bengkak pada leher.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BARAH kepala dan leher kurang diketahui umum berbanding penyakit barah yang lain.

Namun, penyakit ini berbahaya kerana boleh menyebabkan penyempitan saluran pernafasan atau pemakanan.

Malah, ia boleh merebak ke kawasan persekitarannya atau ke organ lain seperti hati, paru-paru atau tulang.

Pakar Perunding Kanan, Jabatan Otorinolaringologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Prof Dr Mohd Razif Mohamad Yunus berkata, barah ini membabitkan kawasan bibir, mulut, lelangit, hidung, farinks (bahagian saluran makanan di antara mulut dan esofagus), peti suara (larinks) dan telinga.

Beliau berkata, ia turut membabitkan kawasan kelenjar air liur utama parotid (berhampiran telinga) dan submandibular (satu daripada sepasang kelenjar air liur di bawah kelenjar parotid).

"Barah pangkal hidung pula adalah barah ketiga dan keempat menyerang rakyat Malaysia serta paling kerap berlaku di negara ini.

BARAH mulut sebahagian daripada barah kepala dan leher.
BARAH mulut sebahagian daripada barah kepala dan leher.

"Barah mulut, lidah dan tonsil pula berada pada kedudukan ke-15 hingga ke-20 dalam kategori penyakit kanser di Malaysia," katanya.

Menurut beliau, trend pesakit menghidap barah kepala dan leher semakin meningkat sejak 10 tahun kebelakangan ini.

"Agak membimbangkan kerana ramai pesakit barah lidah dan tonsil ialah dalam kalangan wanita muda berusia 20 hingga 30 tahun.

"Ini berkemungkinan kerana wanita mempunyai virus papillomavirus manusia (HPV) yang meningkatkan risiko mereka lebih mudah diserang barah.

"Kajian dilakukan UKM mendapati, virus HPV dan penyakit barah ini mempunyai kaitannya," katanya.

Dr Mohd Razif berkata, lazimnya penyakit barah mulut dan tekak dapat dikesan pada peringkat awal kerana gejala itu boleh dilihat daripada mata kasar.

"Tetapi barah pangkal hidung, pita suara dan salur pemakanan dikesan pada tahap lewat (tiga dan empat) kerana kebiasaannya, pesakit membuat pemeriksaan awal di klinik yang tidak memiliki kemudahan peralatan lengkap.

HIDUNG sempit antara gejala barah kepala dan leher.
HIDUNG sempit antara gejala barah kepala dan leher.

"Sebab itu pesakit barah kepala dan leher perlu berjumpa dengan pakar telinga, hidung dan tetak (ENT) bagi menjalani pemeriksaan menggunakan skop untuk melihat serta mengesan penyakit ini lebih awal," katanya.

Beliau berkata, kesan penyakit barah kepada pesakit sangat besar.

Contoh, barah lidah dan tonsil akan menyebabkan pesakit tidak boleh makan apabila ia berada di tahap empat.

Katanya, penyakit barah peti suara tahap empat pula menyebabkan pesakit kehilangan suara dan tidak boleh makan selepas pembedahan hingga memberi kesan psikologi yang besar kepada mereka.

Beliau berkata, perkembangan teknologi menjadikan kaedah rawatan perubatan lebih maju termasuk secara pembedahan untuk merawat pesakit barah kepala dan leher.

"Teknologi terkini yang digunakan ialah 'Harmonic' yang dapat mengurangkan pendarahan, mematikan salur darah ke bahagian barah, teknik penggunaan lebih mudah, pesakit cepat sembuh dan mempercepatkan masa pembedahan.

"Contoh, pembedahan tonsil menggunakan teknologi biasa mengambil masa kira-kira 30 minit, tetapi dengan teknologi 'harmonic' ini, tempoh masa pembedahan dapat disingkatkan kepada tiga minit.

SEGERA jumpa doktor jika pendarahan hidung lambat berhenti.
SEGERA jumpa doktor jika pendarahan hidung lambat berhenti.

"HCTM-UKM menjadi pelopor menggunakan teknologi ini sejak 2011 yang dibangunkan oleh Johnson & Johnson," katanya.

Jelasnya, ada dua jenis teknologi Harmonic iaitu kategori panjang (menyerupai laparoskopi) yang digunakan untuk pembedahan pada ruang-ruang dalam mulut dan tekak.

"Kategori pendek (seperti gunting) pula digunakan untuk pembedahan membabitkan pembukaan kulit.

"Teknologi ini menggunakan 'ultra cision', tenaga elektrik dan peralatan tangan yang kemudian menukarkan tenaga elektrik kepada gegaran dalam bentuk ultra cision," katanya.

Dr Mohd Razif berkata, peralatan ini selalunya digunakan untuk pembedahan yang rumit dan dikendalikan oleh seorang pakar.

TEKNOLOGI ‘Harmonic’ digunakan dalam pembedahan barah kepala dan leher.
TEKNOLOGI ‘Harmonic’ digunakan dalam pembedahan barah kepala dan leher.

"Setiap pakar perlu menjalani bengkel latihan pembedahan terlebih dahulu sehingga mahir sebelum menggunakan teknologi berkenaan," katanya.

Gejala barah kepala dan leher

1. Bengkak pada leher atau anggota yang terbabit

2.Luka tidak sembuh lebih dua minggu

3.Pendarahan hidung yang lambat berhenti

4.Sukar bernafas akibat penyempitan saluran pernafasan

5.Sukar atau sakit semasa menelan

6.Mata kabur atau nampak berbayang

7.Gigi reput atau mudah tanggal

8.Hidung tersumbat

9.Telinga bernanah dan berdarah

10.Perubahan pada suara

11.Batuk berdarah

12.Sakit kepala yang berterusan

Rawatan

1.Pembedahan

2.Radioterapi

3.Kemoterapi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:56 AM