SUHAIILI memeriksa setiap kucing yang dihantar dengan penuh teliti di Celly Cat’s House,  Kota Bharu.
SUHAIILI memeriksa setiap kucing yang dihantar dengan penuh teliti di Celly Cat’s House, Kota Bharu.
BERNAMA

Kota Bharu: Pemilik haiwan peliharaan terutama kucing kerap berdepan masalah untuk menguruskan haiwan kesayangan masing-masing jika terpaksa bekerja di luar kawasan atau pergi melancong dalam tempoh yang agak lama.

Untuk menyelesaikan masalah itu, ada dalam kalangan pemilik haiwan berkenaan yang memilih meninggalkan sementara kucing mereka kepada saudara-mara atau jiran.

Namun, pemergian mereka atas tuntutan kerja atau melancong pasti diiringi dengan hati yang tidak tenang kerana memikirkan haiwan kesayangan yang ditinggalkan.

Situasi itu menyuntik idea kepada Suhaili Muhammad, 27, untuk membuka pusat jagaan harian kucing di rumahnya di Kampung Tok Sadang, Pengkalan Chepa, sejak dua tahun lalu.

“Memang banyak kedai haiwan yang terdapat di mana-mana saja tetapi tidak banyak yang menyediakan khidmat jagaan harian. Jadi saya mengambil peluang ini untuk membantu menyelesaikan masalah pemilik kucing yang sekali gus menjadi punca pendapatan saya,” katanya di kampung itu di sini, semalam.

Celly Cat’s House dipilih sebagai nama pusat jagaannya yang menyediakan segala keperluan si comel, selain perkhidmatan ‘hotel dan spa’ kucing yang mampu memuatkan 30 kucing dalam satu-satu masa.

“Menguruskan kucing memberi kepuasan yang sangat luar biasa bagi saya. Saya sentiasa bersemangat melakukan kerja rutin saya bermula seawal jam 8 pagi untuk melihat kucing bersih, terurus, sihat dan aktif,” katanya.

Menurut Suhaili, antara faktor lain yang mendorong beliau memulakan perniagaan itu adalah minatnya yang mendalam pada kucing sejak kecil. Beliau mula memelihara kucing ketika umurnya sembilan tahun lagi dan minat itu diteruskan hingga kini dengan memiliki 12 ekor kucing.

Katanya, apa yang lebih menggembirakan, apabila pemilik kucing berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan dan mula menjadi pelanggan tetapnya.

“Syukur kerana pusat jagaan harian ini mendapat sambutan menggalakkan malah ada pelanggan dari jajahan lain termasuk dari Pasir Mas dan Bachok turut mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di sini,” katanya.

Apa yang istimewanya, beliau turut menyediakan perkhidmatan mengambil dan menghantar kucing bagi memudahkan pelanggannya dan ini menjadikannya satu kelebihan berbanding kedai haiwan peliharaan lain. Pemilik Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut menyediakan perkhidmatan “cat mating” (mengawan) selain memberi konsultasi percuma kepada pelanggannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 4:39 AM