GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Dua anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam kejadian jam 4.25 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berasal dari Sarawak maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka dipercayai melanggar belakang lori yang diparkir di tepi jalan.

"Mangsa, Jerry Layong Nyalin, 32, dan Juna Jembat, 39, meninggal di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di kepala dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat.

"Berdasarkan laporan, kejadian berlaku di jalan lurus dan tidak sesak namun dalam keadaan basah akibat hujan selain tiada saksi awam," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, keluarga kedua-dua mangsa sudah dimaklumkan dan pihak pentadbiran PGA8 sedang menguruskan kebajikan mangsa.

Beliau turut menasihatkan pemandu di jalan raya agar lebih berhati-hati serta peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelak sebarang kemalangan maut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 10:49 AM