GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk dua penolong pegawai perubatan kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan kerja pengurusan jenazah.

Menurut sumber, dua suspek yang juga pembantu kesihatan berusia 35 dan 38 tahun serta dua penolong pegawai perubatan berusia 37 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang, hari ini di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, semua suspek lelaki yang berkhidmat di salah sebuah hospital di Selangor dipercayai meminta dan menerima wang suapan terbabit bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"Tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok untuk mendapatkan perintah reman.

"Seorang lagi suspek yang juga penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun akan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Pada 27 Mei lalu, dua pembantu kesihatan berusia 40 dan 42 tahun ditahan reman selama lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 10:55 PM