Kumpulan Lefthanded
Kumpulan Lefthanded
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penulis lirik lagu Debunga Wangi dendangan kumpulan rock legenda, Lefthanded iaitu Jabbar Ithnin, 56, meninggal dunia di Hospital Pakar Jerudong, Brunei jam 4 pagi, hari ini.

Jabbar sebelum itu sudah tiga tahun terlantar akibat angin ahmar.

Penyanyi Lefthanded, Datuk Nash ketika dihubungi berkata, dia dimaklumkan berita sedih itu oleh anak tunggal Allahyarham, Saleha.

Berita itu cukup menyentuh perasaannya kerana dia tidak sempat untuk melawat Allahyarham di hospital.

"Saya dan beberapa rakan rapat Allahyarham ada merancang untuk melawatnya di hospital di Brunei. Namun, dalam situasi penularan Covid-19 ketika ini dan kita tidak dibenarkan ke luar negara adalah sukar untuk berbuat demikian," katanya.

Nash berkata, Jabbar yang berasal dari Mersing, Johor dikenalinya sejak awal penubuhan Lefthanded. Allahyarham juga seorang wartawan sukan di sebuah syarikat penerbitan ketika itu.

Allahyarham Jabbar Ithnin
Allahyarham Jabbar Ithnin

Menurut Nash, lagu Debunga Wangi adalah lagu pertama dirakam Lefthanded dan Jabbar juga orang pertama yang menulis lirik untuk Lefthanded.

Lagu Debunga Wangi ciptaan Lefthanded itu dimuatkan dalam album kompilasi Battle of the Bands pada 1986. Ia turut dimuatkan dalam album sulung mereka berjudul Keadilan pada tahun yang sama.

"Kami berkenan dengan lagu ini kerana saya amat teliti dalam soal lirik. Tulisannya amat bermakna, sangat indah dan penuh simbolik.

"Orangnya pun baik. Hanya satu lirik yang pernah dia hasilkan kerana selepas berkahwin dengan wanita Brunei, dia berhijrah ke sana," katanya.

Nash berkata, dia pernah ke Brunei bertemu Allahyarham sebelum ini dan keluarga isteri Jabbar juga rapat dengan Nash.

"Saleha sering maklumkan perkembangan terkini bapanya kepada saya. Malah tarikh lahir Saleha juga sama dengan tarikh lahir saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 4:06 PM