TENGKU Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
TENGKU Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Fasa 2 Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan dibuat secara berperingkat mulai 7 Mei ini membabitkan peruntukan berjumlah RM2.75 bilion.

Seramai 3.6 juta isi rumah, sejuta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang akan menerima bayaran berkenaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan peruntukan adalah berikutan penambahbaikan kadar bayaran kepada penerima.

"Jika dahulunya penerima dari kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah di antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai 7 Mei 2021 melalui pautan https://bpr.hasil.gov.my.

Bagi penerima isi rumah, warga emas dan individu bujang, bayaran akan dibuat dari 7 hingga 12 Mei ini dan bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank.

Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah & Sarawak), bayaran akan dibuat mulai 17 Mei nanti di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Fasa 1 pembayaran BPR berjumlah RM1.93 bilion telah dibuat kepada 8.4 juta penerima dari 24 Februari sehingga 1 April 2021.

Menurutnya, bagi memastikan program BPR disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021.

"Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonannya masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 3:22 PM