BAGGIO. FOTO Arkib NSTP
BAGGIO. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Saya tak ada isu sekiranya golongan pelapis atau BBNU (budak baru nak up) menyanyikan lagu-lagu Damasutra. Boleh saja, asalkan mereka buat yang terbaik, tidak mencacatkan keaslian melodi lagu itu," kata penyanyi Damasutra, Baggio, 52.

Menurut Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, Damasutra adalah pelopor kepada lagu-lagu itu, namun pemilik sebenar karya berkenan adalah komposer atau pencipta lagu.

"Saya okay saja sesiapa pun yang nak menyanyikan lagu-lagu Damasutra kerana kami adalah pelopor kepada karya berkenaan. Tetapi, lagu itu bukan lagu Damasutra. Ia adalah lagu ciptaan komposer-komposer pada ketika itu.

"Contohnya, lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi dicipta oleh Awang BPR. Jadi, tak ada apalah untuk cuba dijadikan itu. Boleh saja kalau nak nyanyikan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai karier lakonan, Baggio yang pernah aktif sebagai pelakon berkata, kali terakhir dia berlakon beberapa tahun lalu di bawah arahan Jinggo dan drama terbitan JS Pictures.

"Saya lupa tajuk dramanya, tapi apa yang masih diingat saya mengalami kecederaan patah bahu akibat kemalangan ketika melakukan aktiviti berbasikal sebelum penggambaran. Tapi saya tetap jalani penggambaran untuk babak yang ringan sebab tugas belum selesai.

"Walaupun watak saya sebagai penjahat, tetapi tidak melakukan babak aksi kerana kecederaan dialami itu. Namun, sekarang fokus saya pada nyanyian saja dan Konsert Anniversary Ke- 33 Damasutra The Journey pada 27 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur," katanya.

Damasutra yang ditubuhkan sekitar 1989 mula mencipta nama pada 1990 dan turut popular dengan lagu seperti Sufi, Antara Sutra Dan Bulan, Sembunyi, Sesat Dalam Rindu, Seribu Bayangan dan banyak lagi.

Selain Baggio, Damasutra dianggotai Amran, 58, sebagai pemain bass, Assu, 52, (dram) dan anggota baru yang juga pemain gitar, Rizal Wahab, 33 yang menggantikan Allahyarham Alok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 1:25 PM