PETUGAS KKM melakukan proses penandaan sampel ujian saringan Covid-19. FOTO Arkib Bernama
PETUGAS KKM melakukan proses penandaan sampel ujian saringan Covid-19. FOTO Arkib Bernama
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kes harian Covid-19 di negara ini terus merekodkan lima angka dengan 21,839 kes dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang dijangkiti virus berkenaan ialah sebanyak 4,101,081 kes.

Beliau berkata, jumlah kes itu membabitkan 21,552 kes penularan tempatan dengan 287 kes import yang mendapat jangkitan luar negara.

"Paling tinggi kategori yang dikesan semalam adalah kategori dua iaitu sebanyak 12,299 kes atau 56.31 peratus, ia dikuti kategori satu (9,401), kategori tiga (60), kategori empat 42 kes dan 37 kes bagi kategori lima.

"Daripada jumlah keseluruhan 139 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 32 kes (23.02 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 69 kes (49.64 peratus) menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 38 kes (27.34 peratus) sudah menerima dos penggalak (booster) dan 81 kes (58.27 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas manakala 78 kes lagi (56.12 peratus) mempunyai komorbid serta tiga kes membabitkan ibu mengandung.

Menurutnya, sebanyak 291 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 142 kes disahkan Covid-19 serta 149 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 188 kes iaitu 95 kes disahkan Covid-19 serta 93 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Sebanyak 22,324 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif adalah 3,819,299 kes," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kluster baru dikesan dan 242 masih aktif.

"Ia menjadikan jumlah kluster sebanyak 6,923 kluster dan 6,681 kluster sudah tamat," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, empat negeri iaitu Putrajaya (100 peratus), Kuala Lumpur (67 peratus), Johor (55 peratus) dan Selangor (51 peratus) menunjukkan peratusan pengisian katil di unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus.

"Bagi katil bukan ICU, lapan negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus didahului dengan Putrajaya (80 peratus), Selangor (73 peratus), Kuala Lumpur (61 peratus), Terengganu (57 peratus), Sarawak (55 peratus), Melaka (54 peratus), Negeri Sembilan (54 peratus) dan Perak (53 peratus).

"Bagi pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 188 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 21 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 11:08 AM