GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kes harian Covid-19 di negara ini kembali mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 28,298 kes berbanding

26,534 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang dijangkiti virus berkenaan ialah sebanyak 3,900,433 kes.

Beliau berkata, jumlah kes itu membabitkan 27,600 kes penularan tempatan dengan 698 kes import yang mendapat jangkitan luar negara.

"Paling tinggi kategori yang dikesan semalam adalah kategori dua iaitu sebanyak 16,148 kes atau 59.06 peratus, ia dikuti kategori satu (11,936), kategori tiga (100), kategori empat 55 kes dan 59 kes bagi kategori lima.

"Daripada jumlah keseluruhan 214 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 56 kes (26.17 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 101 kes (47.2 peratus) menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 57 kes (26.64 peratus) sudah menerima dos penggalak (booster) dan 119 kes (55.61 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas manakala 82 kes lagi (38.32 peratus) mempunyai komorbid dan dua kes membabitkan ibu mengandung.

Menurutnya, sebanyak 374 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 147 kes disahkan Covid-19 serta 227 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 233 kes iaitu 91 kes disahkan Covid-19 serta 142 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Sebanyak 33,009 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif adalah 3,567,003 kes," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat enam kluster baru dikesan dan 346 masih aktif.

"Ia menjadikan jumlah kluster sebanyak6,893 kluster dan 6,547 kluster sudah tamat," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, lapan negeri iaitu Putrajaya (100 peratus), Kuala Lumpur (69 peratus), Kelantan (65 peratus), Perlis (64 peratus), Selangor (59 peratus), Johor (62 peratus), Melaka (53 peratus), dan Sarawak (51 peratus) menunjukkan peratusan pengisian katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus.

"Bagi katil bukan ICU, 12 negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus didahului dengan Selangor (95 peratus), Kuala Lumpur (89 peratus), Putrajaya (84 peratus), Melaka (82 peratus), Terengganu (82 peratus), Perak (81 peratus), Perlis (78 peratus), Sarawak (71 peratus), Kelantan (65 peratus), Johor (56 peratus), Pahang (53 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus).

"Bagi pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 233 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 26 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 12:30 PM