RAZAISYAM (kiri), Jastina, Adlin dan Anwari bersama lima tonggak utama drama ini.
RAZAISYAM (kiri), Jastina, Adlin dan Anwari bersama lima tonggak utama drama ini.
Ridzuan Abdul Rahman


BERMULA malam semalam, setiap Isnin jam 9 malam, penonton saluran 108 (HD) atau 128 (SD) disajikan dengan drama bersiri premium terbaharu menerusi jenama Astro Originals bertajuk Projek: Anchor SPM yang menggantikan Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Drama gabungan dua tenaga muda iaitu Razaisyam Rashid sebagai pengarah dan Anwari Ashraf (pengarah dan penulis skrip) memaparkan kisah fiksyen yang diinspirasikan daripada cerita pernah berlaku dalam pengalaman kehidupan pelajar dan gelagat mereka menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Projek: Anchor SPM sebanyak lapan episod ini membariskan pelakon Aedy Ashraf sebagai Aizat, Daiyan Trisha (Aaidaa), Shasha Abedul (Jaja), Chubb-e (Botol) dan Nadhir Nasar (Hilmi) serta dibantu pelakon berpengalaman iaitu Adlin Aman Ramlie (Pengetua), Hasnul Rahmat, Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Dengan berlatar belakangkan 2003, drama ini memaparkan pengalaman kehidupan dan gelagat mereka yang akan menghadapi SPM pada tahun itu.

Razaisyam berkata, dia berbangga dan berterima kasih kerana dapat bekerjasama sekali lagi dengan Astro dalam menghasilkan sebuah drama siri premium.

"Di atas kepercayaan yang diberikan ini, saya cuba menampilkan sesuatu berbeza daripada aspek teknikal dan gaya seni untuk mencapai tahap kualiti yang tinggi.

"Selain itu, saya turut berbangga dapat bekerjasama dengan Anwari lagi termasuk buat pertama kali kami bertindak selaku pengarah bersama untuk drama siri premium ini.

"Tentunya, ada cabaran dalam menghasilkan karya ini, lebih-lebih lagi sesi penggambaran adalah ketika berlangsung fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan banyak limitasi. Namun, alhamdulillah semuanya berjalan lancar,

" katanya.

PELAKON utama Projek: Anchor SPM iaitu Chubb-e, Nadhir, Adlin, Daiyan, Shasha dan Aedy.
PELAKON utama Projek: Anchor SPM iaitu Chubb-e, Nadhir, Adlin, Daiyan, Shasha dan Aedy.

Anwari pula mengakui meminati filem genre 'Young Adult' dan sering mengimpikan untuk meperkenalkan genre ini kepada penonton di Malaysia.

"Ia jarang didedahkan. Jadi, saya cuba untuk cari satu topik yang dekat dengan penonton tempatan untuk mengetengahkan genre ini.

"Saya yakin ramai yang mempunyai pengalaman mengambil SPM atau apa-apa jenis peperiksaan. Jadi, kami bawa topik pelajar dan peperiksaan untuk menjadi nadi kepada jalan cerita Projek: Anchor SPM.

"Berkenaan latar 2003 pula, ia tahun di mana kami mengambil SPM dan agak memudahkan untuk menghasilkan penceritaan,"

katanya yang berharap drama ini mendapat sambutan daripada penonton.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata Projek: Anchor SPM mengetengahkan subjek yang dekat dengan penonton Malaysia iaitu pengalaman dan isu di sekolah yang mungkin tidak dibincangkan selama ini.

"Antaranya isu psikologi, tekanan daripada keluarga dan pengaruh rakan sebaya, lebih-lebih lagi pada kalangan anak muda. Kami menyedari banyak isu sosial dan stigma yang jarang disentuh dan ia adalah subjek sangat menarik untuk kita kupas, di samping membawa penonton untuk mengimbas kembali memori di sekolah.

DAIYAN ambil inspirasi daripada kakak untuk bawa watak Aaidaa.
DAIYAN ambil inspirasi daripada kakak untuk bawa watak Aaidaa.

"Mungkin ada yang mempertikaikan mengenai sub-elemen iaitu 'meniru' yang dipaparkan dalam drama ini. Namun, kehadiran drama ini adalah untuk memberi teladan kepada semua. Setiap kelakuan yang salah pasti ada hukuman dan pengajaran.

"Buat ibu bapa pula, diharap boleh membuka mata untuk lebih memahami beban serta tekanan yang dialami anak-anak dalam menghadapi peperiksaan. Kepada guru, ini mendedahkan taktik yang mungkin akan dilakukan pelajar. Kami harap penonton dapat menilai daripada sudut positif dan jadikan ia sebagai teladan," katanya.

Sementara itu, Daiyan mengakui cabaran baginya membawa watak Aaidaa, pelajar pintar yang mempunyai konflik dalaman.

"Untuk watak ini, inspirasi adalah kakak saya. Dia seorang yang bijak dan dapat A dalam semua mata pelajaran ketika SPM dan sekarang bergelar doktor.

"Berbeza dengannya, saya pula bukan pelajar bijak yang mendapat A dalam semua subjek. Saya hanya serius belajar apabila masuk universiti," katanya.

Projek: Anchor SPM mengisahkan mengenai sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands yang juga sebuah sekolah berasrama penuh berprestij dan memilki ramai calon terbaik dalam peperiksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:35 AM