AMAL gaya hidup sihat, anggap penampilan bukan pengukur keyakinan
AMAL gaya hidup sihat, anggap penampilan bukan pengukur keyakinan
Zaara Talita

BERTUBUH gempal tidak menghalang pengacara dan pelakon Sherry Alhadad, 38, untuk mengejar impian.

Namun, Sherry yang tidak pernah kurus sepanjang hidupnya menyebabkan dia tidak berada di dalam kategori cantik.

Pada awal kemunculannya, dia kerap menerima kritikan mengenai bentuk badannya.

Kurus atau gemuk bukanlah pengukur keyakinan, sebaliknya Sherry atau pemilik nama penuh Shariffah Mariam Syed Abdullah Ab Hadad selesa mengamalkan gaya hidup sihat sejajar peningkatan usia.

Enggan dianggap riak atau menunjuk, Sherry meluahkan keterujaan berjaya menurunkan berat sebanyak 18 kilogram (kg) berkat usaha sendiri mengamalkan gaya hidup sihat sejak Ogos tahun lalu.

Tidak menggunakan jalan pintas untuk menurunkan berat badan, Sherry selesa dengan proses lebih panjang biarpun mengambil masa lebih lama.

"Kurus atau gemuk bukanlah isu kerana bagi saya tetap selesa dengan apa pun bentuk tubuh saya. Cuma, semakin meningkat usia saya mahu lebih sihat dan bertenaga.

"Saya tekad untuk menjalani gaya hidup sihat dengan menurunkan berat badan sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada Ogos tahun lalu.

"Ini kerana saya mahu kehidupan yang lebih sihat memandangkan usia pun semakin meningkat. Bukanlah nak kata badan saya besar sebab tidak menjaga kesihatan, tapi saya memang sudah begini (berbadan besar) sejak kanak-kanak lagi," katanya.

Menurut Sherry, dengan melakukan senaman dan mengamalkan pemakanan sihat, dia berjaya menurunkan berat sebanyak 16 hingga 18 kg dalam jangka masa panjang iaitu dua tahun.

SHERRY cuba untuk memastikan dirinya tidak hanyut diulit populariti.
SHERRY cuba untuk memastikan dirinya tidak hanyut diulit populariti.

Selain menjaga pemakanan dan juga bersenam, pengacara program Big Stage itu juga mengamalkan jus pelansingan badan untuk membantunya menurunkan berat badan.

"Saya seperti segelintir pihak yang tidak boleh jika tak makan nasi, boleh 'naik hantu' dibuatnya. Tapi saya hanya makan nasi perang (brown rice) dengan sukatan antara 80 gram (g) hingga 100g sehari.

"Makanan juga disukat kerana saya perlu mengawal 'portion' setiap hidangan. Selebihnya saya ambil protin. Malah, saya juga banyak kurangkan pengambilan gula, cuma ambil sekali-sekala untuk bekalkan tenaga," katanya.

Ikut resmi padi

Menjadikan peribahasa ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Itulah pendekatan digunakan Sherry bagi memastikan dirinya tidak hanyut diulit populariti.

Malah, Sherry bersyukur dikelilingi sahabat-sahabat dan keluarga yang sering mengingatkan dirinya supaya terus 'membumi'.

Katanya, dia sentiasa ingat kepayahan untuk berada di tahap hari ini.

Usaha Sherry untuk berada dalam industri hiburan ternyata bukan mudah. Bertahun-tahun dia berusaha dan bermula dengan menjadi pelakon telefilem Sutun pada 2006.

"Saya pernah sedih dan mengadu kepada ibu mengenai industri hiburan di sini kerana memilih paras rupa berbanding bakat.

SHERRY berjaya menurunkan berat sebanyak 16 hingga 18 kilogram dalam jangka masa panjang iaitu dua tahun.
SHERRY berjaya menurunkan berat sebanyak 16 hingga 18 kilogram dalam jangka masa panjang iaitu dua tahun.

Ibu adalah kekuatan saya memandangkan arwah ayah sudah pergi mengadap Ilahi ketika saya berusia sembilan tahun lagi.

"Jadi, ibulah tempat saya mengadu episod suka dan duka kehidupan. Dalam pada itu, saya bersyukur rakan-rakan sekeliling selalu mengingatkan saya mengenai kepayahan hidup dulu.

"Saya dan Zulin Aziz juga pernah berkata, jika lupa diri kita akan 'lempang' muka satu sama lain. Dalam pada itu, saya berterima kasih dengan sokongan mereka di luar sana yang menjadi tulang belakang kerjaya saya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sherry bakal tampil bersama Alif Satar sebagai hos program Big Stage 2022 bermula 6 Februari ini.

Pentas Big Stage 2022 dibarisi 11 bintang utama dari tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia.

"Setiap tahun persediaan sama saja, cuma saya dan Alif selaku hos perlu mengekalkan momentum bagi musim keempat ini. Gementar dan tak sabar sebenarnya, perasaan itu bercampur baur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 6:00 AM