Osama Yamani
Osama Yamani
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Osama Yamani, 21, tidak peduli sekiranya ada pihak mendakwa dia menjalani pembedahan bariatrik atau memotong usus bagi mendapatkan berat badan ideal.

Osama yang menafikan ada melakukan prosedur itu berkata, dia mengambil masa hampir dua tahun untuk menurunkan berat badan ke 75 kilogram (kg).

"Saya rasa kelakar dan hanya ketawa apabila ada yang bertanya potong usus ke? Ini kerana saya tahu ia tidak benar. Lagipun kos melakukan pembedahan itu yang tinggi.

"Saya tidak menggunakan jalan pintas untuk turunkan berat badan. Banyak aspek yang perlu difikirkan, apatah lagi saya masih muda dan kos pembedahan itu tinggi," katanya yang juga bekas peserta Big Stage musim ketiga pada 2020.

Osama yang juga anak penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah berkata, dia berjaya menurunkan berat sebanyak 20kg dalam tempoh dua tahun.

"Berat badan saya pernah mencecah sehingga 112kg. Selepas tamat program Big Stage, saya terus mendapat kesedaran untuk menjaga pemakanan dan bersenam," katanya kepada Harian Metro.

Osama berkata, perasaan itu timbul selepas melihat keadaan badannya ketika menyertai program realiti nyanyian itu.

"Sebagai manusia, kita suka melihat benda yang cantik dan 'presentable'. Jadi, sekiranya saya hendak berkecimpung dalam bidang seni secara aktif, pendekatan untuk menguruskan badan itu perlu. Malah, bapa saya juga sering meminta saya untuk kurus cuma tidaklah sehingga nampak tidak sihat. Dia pernah menegur apabila melihat saya terlalu kurus, takut saya ambil benda-benda terlarang.

"Apa yang saya amalkan adalah kurangkan gula dan nasi dalam menu harian. Saya juga mengawal kuantiti makanan yang diambil kerana saya suka makan sebenarnya. Semoga saya terus kuat dalam mengekalkan rutin yang saya amalkan ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 10:50 AM