KHAIRUL Anwar
KHAIRUL Anwar
Ridzuan Abdul Rahman


Tidak lagi berlangsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil seperti perancangan asal. Sebaliknya Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) yang dijadualkan berlangsung pada 7 Februari depan akan dipancarkan dari Auditorium Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA), Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, keputusan ini dibuat sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengawal pandemik Covid-19.

"Kerjasama kami dengan MBSA bukanlah baru dan TV3 yakin untuk mementaskan AJL35 di situ. Malah, sepanjang tempoh penularan Covid-19 ketika ini, TV3 banyak membuat kerja produksi dengan MBSA.

"Urusan SOP dan penyelenggaraan berjalan dengan baik. Hubungan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui MBSA juga menjanjikan kita dapat menjalankan sebuah produksi yang kita mahukan. Walaupun tak sebesar Axiata, tak bermakna MBSA kecil. Lokasi ini biasa digunakan untuk buat persembahan besar," katanya.

Menurutnya, Auditorium MBSA baharu sahaja selesai menjalani proses ubah suai dan TV3 akan memanfaatkannya untuk menampilkan persembahan yang menarik dan menghiburkan.

NURHUL Huda
NURHUL Huda

Sementara itu, Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid berkata, pertukaran lokasi dibuat kerana AJL35 dianjurkan tanpa penonton dan sesuai dengan saiz premis kompak yang memudahkan pelaksanaan SOP.

"Selama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memang tiada penonton untuk sebarang rakaman atau siaran langsung di TV3. Walaupun tempat kecil atau padat, kami tetap akan menyajikan persembahan menarik daripada finalis dan segmen pembukaan serta interlud," katanya.

Menurutnya, tema dan objektif AJL kali ini lebih kepada menaikkan semangat rakyat Malaysia sejak berlakunya Covid-19 dan banjir baru-baru ini.

SHERRY Alhadad
SHERRY Alhadad

"Rentetan itu tercetus idea untuk menghasilkan lagu baharu berjudul Baik Semula ciptaan Faizal Tahir dan rakan-rakannya. Ia bukan lagu tema tapi berkaitan dengan suasana sekarang dan ia akan bekerjasama dengan AJL. Lagu ini akan dimulakan siarannya pada minggu depan menerusi platform radio dan digital," katanya.

Nuhrul Huda berkata, lagu ini akan ditampilkan sebagai persembahan pembukaan AJL35 nanti.

"Saya juga lihat 12 finalis masih bersemangat untuk buat persembahan cara tersendiri sama seperti musim lalu," katanya.

HAZIQ Hussni
HAZIQ Hussni

AJL35 akan menampilkan Awal Ashaari, Sherry Alhadad, Haziq Hussni sebagai Hos Utama, manakala Sissy Imann dan Shuk Sahar pula sebagai hos Karpet Merah.

AJL35 boleh ditonton secara strim di tonton.com.my serta YouTube TV3 Malaysia. Maklumat lanjut mengenai AJL35 boleh didapati di laman web www.anugerahjuaralagu.com.

AWAL Ashaari
AWAL Ashaari

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 6:16 AM