FOTO yang membawa kepada penahanan Gioacchino Gammino. FOTO Google Maps
FOTO yang membawa kepada penahanan Gioacchino Gammino. FOTO Google Maps
Agensi

Madrid: Seorang mafia Sicily yang melarikan diri selama hampir 20 tahun akhirnya ditangkap selepas dikesan menerusi Google Street View.

Sky News melaporkan Gioacchino Gammino, 61, dikesan di Galapagar, Sepanyol, sebuah bandar berhampiran Madrid.

Ia selepas gambar menunjukkan seorang lelaki menyerupainya sedang berbual di luar kedai buah-buahan.

Polis sebelum ini sudah mengesyaki dia berada di Sepanyol, tetapi gagal menjejakinya.

Gammino menggunakan nama Manuel, menurut akhbar La Repubblica Itali, dan sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran bernama La cocina de Manu.

Akaun Facebook (FB) restoran itu yang kini ditutup mendedahkan gambar Gammino - boleh dikenali dengan parut di bahagian kiri dagunya.

Perniagaan itu juga menawarkan 'makan malam Sicily'.

Berdasarkan imej dari Google Street View itu, Gammino dilihat di satu lagi premis yang menggunakan nama palsunya iaitu El huerto de Manu yang bermaksud dusun Manu.

Menurut La Repubblica, Gammino adalah ketua kumpulan mafia Stidda di Agrigento, Sicily.

Kumpulan itu sering menjadi saingan dengan mafia Cosa Nostra.

Gammino disiasat pada tahun 1980-an.

Media melaporkan dia berjaya melarikan diri dari penjara Rebibbia Rom pada tahun 2002.

Ketika kejadian, satu penggambaran filem diadakan di penjara berkenaan.

Sejak melarikan diri, dia tidak pernah ditangkap sehingga dijejaki di bandar kecil Sepanyol itu, baru-baru ini.

Selepas penahanannya pada 17 Disember lalu, Gammino dilaporkan berata kepada polis: "Bagaimana anda menemui saya? Saya tidak menelefon keluarga saya selama 10 tahun."

Lelaki itu kini ditahan di Sepanyol namun diharap dapat dikembalikan ke Itali pada Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:30 AM