AFP

Rom: Seorang ketua mafia Sicily yang sedang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat mengigit dan menelan jari pengawal penjara.

Media tempatan melaporkan insiden berlaku pada Jun lalu ketika satu pergelutan antara Giuseppe Fanara, 60, dengan pengawal di penjara Rebibbia.

Menurut laporan itu, pada mulanya ada tujuh pengawal penjara datang ke sel penjara Fanara dan mahu melakukan pemeriksaan.

"Ketika bergelut, Fanara mengigit jari kanan seorang pengawal. Jari itu tidak ditemui menyebabkan pasukan pendakwa beranggapan bahawa lelaki itu sudah menelannya," lapor akhbar, Il Messagero.

Susulan kejadian, Fanara dipindahkan ke penjara dengan kawalan keselamatan maksimum di Sassari.

Lelaki itu sebelum dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat ketika operasi 'pembersihan' mafia pada 2006 di wilayah Agrigente, Sicily.

Dia terbabit dalam pembunuhan dua beradik yang enggan menuruti permintaan geng mafia berkenaan dan pembunuhan tiga lelaki kerana pergaduhan antara tiga kumpulan pada akhir 1990-an.

Tahun ini adalah tahun kesembilan Fanara menjalani hukuman penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 2:42 PM