Wan Mohd Talib Wan Mohamed Salim melakukan proses memasang ladam atau kasut kuda. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Wan Mohd Talib Wan Mohamed Salim melakukan proses memasang ladam atau kasut kuda. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Oleh Mohd Rafi Mamat


Pekan: Menjadi pemasang ladam atau kasut kuda tidak sesukar mana, tetapi jika mood kuda tidak baik, nyawa pemasang ladam boleh terancam sekiranya haiwan berkenaan tersentak lalu kaki belakangnya menendang mengenai dada pemasang ladam.

Dipijak dan digigit kuda yang secara tiba-tiba naik minyak antara dugaan ditempuh Mohd Shah Mohd Nor, 53, sepanjang lebih 30 tahun menjalankan tugas sebagai pemasang ladam kuda polo.

Katanya, perangai setiap kuda berbeza dan ia perlu difahami sebelum tugas memasang ladam dilakukan, terdapat jenis kuda jinak dan ada yang liar serta agresif walaupun sudah lama bersama penjaga dalam kurungan.

Katanya, ladam yang diperbuat daripada besi berkualiti tinggi perlu ditukar setiap bulan bagi mengelak sendi kaki kuda berdepan kecederaan serius seterusnya menyebabkan haiwan itu tidak dapat berjalan sempurna sehingga perlu berehat panjang.

"Tugas tukang pasang ladam kuda polo memerlukan minat, keberanian dan kemahiran serta pengalaman menjadi pelengkap kepada kebolehan menjalankan tugas itu yang tidak ramai mampu melakukannya.

"Proses menukar ladam atau kasut kuda bermula dengan mencabut ladam lama yang rosak dan nipis selepas digunakan selama sebulan. Ladam perlu ditukar secara serentak kaki depan dan belakang (empat unit).

"Selepas itu kuku kuda perlu dibersihkan, dikikis dan diratakan menggunakan peralatan khas bagi memudahkan ladam dipasang selain mengelak kecederaan ketika berjalan.

"Enam paku digunakan untuk melekatkan ladam pada kuku.

"Kedudukan ladam pada kuku kuda perlu tepat bagi mengelak kecederaan ketika berjalan dan beraksi ditengah padang," katanya yang menetap di Kampung Padang Polo di sini.

Mohd Shah Mohd Nor memeriksa ladam atau kasut kuda polo sebelum dipasang pada kuda di Kelab Polo Diraja Pahang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Shah Mohd Nor memeriksa ladam atau kasut kuda polo sebelum dipasang pada kuda di Kelab Polo Diraja Pahang. FOTO MOHD RAFI MAMAT

Katanya, sebelum ini ladam kuda dihasilkan secara tradisional menggunakan besi melalui proses membakar dan membentuk lingkaran pelbagai saiz namun kini ladam diterima siap dengan saiz 3, 4, 5 dan 6 mengikut saiz kaki kuda.

Mohd Shah yang bertugas dengan Kelab Polo Diraja Pahang bersama rakanya , Wan Mohd Talib Wan Mohamed Salim, 55, berkata, setiap hari dia menukar ladam antara empat hingga lima kuda bergantung jenis kuda dan keperluan semasa.

Katanya, dia menimba ilmu menukar ladam atau kasut kuda dengan tiga individu. Pertama, dengan rakan setugas, Rahim Makbar atau panggilan Cu Wan yang kini sudah bersara dan dua jurulatih profesional dari Argentina serta Australia yang dibawa khas ke Kelab Polo Diraja Pahang.

"Ketika menukar ladam saya bercakap dengan kuda bagi menenangkannya yang bila-bila masa boleh bersikap agresif. Masa diambil antara 45 minit hingga sejam bagi menyiapkan seekor kuda.

"Saya pernah digigit kuda di bahu dan belakang ketika menukar ladam. Kuda yang agresif biasanya memiliki kebolehan tinggi ketika beraksi di tengah padang.

"Bertugas sebagai tukang pasang ladam kuda memberi peluang saya mengikuti rombongan Kelab Polo Diraja Pahang menyertai kejohanan polo di Thailand dan Singapura," kata datuk kepada dua cucu yang berasal dari Johor itu.

Sementara itu, bagi Wan Mohd Talib, dia berpengalaman 12 tahun sebagai tukang pasang ladam selepas menimba ilmu dengan rakan (Mohd Shah) selain mengikuti kursus di Johor.

Katanya, kekuatan fizikal perlu ketika menukar ladam, berdiri dan membongkok dalam masa 45 minit hingga sejam bagi setiap kuda.

"Kami perlu berhati-hati terutama membabitkan kuda agresif, bimbang ditendang dan digigit. Biasanya penjaga haiwan berkenaan turut membantu mengawal.

"Awalnya, saya gerun juga terutama ketika mengendalikan kuda kuda besar dan tinggi, takut kejadian tidak diingini berlaku.

"Alhamdulillah sepanjang bertugas kami tidak pernah cedera serius selain digigit," katanya yang sebelum ini bertugas sebagai tukang kebun dengan Kelab Polo Diraja Pahang.

Katanya, walaupun setiap hari bersama kuda, dia tidak berminat menunggang kerana faktor usia selain tiada kemahiran mengawal kuda.

Mohd Shah Mohd Nor, Ladam atau kasut kuda perlu ditukar setiap bulan bagi menyediakan kuda yang dapat memberi prestasi baik. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Shah Mohd Nor, Ladam atau kasut kuda perlu ditukar setiap bulan bagi menyediakan kuda yang dapat memberi prestasi baik. FOTO MOHD RAFI MAMAT

Wan Mohd Talib menambah, tugas menukar ladam kini lebih mudah berbanding 50 tahun lalu yang perlu membakar besi dan mengetuk bagi menghasilkan ladam sehingga bermandi peluh.

"Hari ini kami terima ladam siap mengikut saiz, pilih kemudian ukur dan sekiranya tidak sesuai ia diubah dengan mengetuk sebelum proses memasang.

"Teknik memasang ladam berbeza antara cara tempatan dan luar negara.

Teknik tempatan, kaki kuda tidak perlu dikepit antara dua peha sebaliknya kaki kuda hanya perlu diangkat tanpa memerlukan banyak tenaga. Keadaan ini lebih mudah dan kuda tidak melawan.

"Teknik luar negara pula kaki kuda dikepit antara dua paha kita, kuda mudah meronta apabila berasakan dirinya terancam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 12:00 PM