USAMAH.
USAMAH.
MEMBERSIHKAN dan menyikat bulu kuda.
MEMBERSIHKAN dan menyikat bulu kuda.
MEMBETULKAN pelana untuk memberi keselesaan kepada penunggang.
MEMBETULKAN pelana untuk memberi keselesaan kepada penunggang.
USAMAH (kiri) dan ayahnya beriadah dengan menunggang kuda pada waktu petang.
USAMAH (kiri) dan ayahnya beriadah dengan menunggang kuda pada waktu petang.
REMAJA yang datang belajar menunggang kuda dengan Usamah.
REMAJA yang datang belajar menunggang kuda dengan Usamah.
KANAK-KANAK tadika mendengar penerangan Usamah sebelum memulakan latihan memanah.
KANAK-KANAK tadika mendengar penerangan Usamah sebelum memulakan latihan memanah.
Fatin Farhana Japre


Aktiviti sukan berkuda sering dianggap sebagai sukan untuk kelas atasan dan mewah kerana memerlukan kos tinggi berbanding aktiviti sukan lain.

Namun ia adalah antara aktiviti yang mempunyai pelbagai manfaat tersembunyi.

Usamah Shaidin, 24, mendalami ilmu menunggang kuda untuk aktiviti riadah sejak berusia 22 tahun. Selain itu, sejak usia 19 tahun Usamah sudah membabitkan diri dalam sukan memanah dan mengambil masa kira-kira setahun setengah untuk mahir.

Sehingga kini, Usamah masih menghadiri kelas memanah bagi mengasah bakatnya kerana banyak lagi kemahiran yang perlu dipelajari.

“Ketika itu, saya hanya belajar memanah biasa saja sehinggalah ayah membeli dua ekor kuda bagi tujuan perhiasan dan meragut rumput di halaman rumah. Kemudian saya mencadangkan kepada ayah untuk belajar mengurus dan menunggang kuda sebagai aktiviti riadah kami sekeluarga. Selain itu ia memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman menunggang kuda dengan harga berpatutan.

“Cadangan saya diterima baik oleh ayah dan kami bekerjasama membina kandang kuda di dusun buah-buahan milik ayah yang berkeluasan dua ekar di Kampung Bukit Durian, Melaka. Setiap kali cuti semester, saya akan membantu ayah membersihkan kandang kuda dan belajar menunggang kuda daripada ayah.

“Saya ambil masa kira-kira setahun untuk mahir menunggang kuda dan kini ayah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menguruskan pusat latihan sukan berkuda ini yang dikenali sebagai Pusat Ekuin Ladam Merah, Kampung Bukit Durian Melaka,” kata anak kelima daripada lapan beradik ini.

Menurut Usamah, dia menyukai hobi menunggang kuda kerana ia adalah sunah Nabi Muhammad dan mengurangkan tekanan diri. Selain itu, aktiviti ini juga mampu memberi rawatan kepada pelbagai penyakit dan masalah seperti mental, emosi dan fizikal.

“Di samping menguruskan Pusat Ekuin Ladam Merah, saya akan beriadah menunggang kuda Polo kesayangan saya, Evita, dua kali sehari selama satu jam di kawasan ladang. Hobi ini memberi ketenangan jiwa dan banyak mengajar saya untuk lebih fokus bersiap sedia menghadapi apa jua rintangan di hadapan saya.

“Daripada sekadar hobi dan aktiviti riadah bersama keluarga, kini saya manfaatkan peluang ini dengan menjana pendapatan melalui kolaborasi bersama tadika, sekolah kebangsaan, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan keluarga. Saya menggunakan kemahiran yang ada menjadi jurulatih dan mengajar mereka cara memanah, mengurus dan menunggang kuda dengan harga yang sangat berpatutan.

“Sebenarnya saya mahu ketengahkan konsep apabila pelanggan yang datang ke sini pulang ke rumah dengan ilmu mengurus dan menunggang kuda. Bukan sekadar menunggang dan mengambil gambar tanpa mempelajari apa-apa.

“Ini adalah salah satu cara inovatif yang saya lihat akan mengembangkan lagi aktiviti sukan berkuda menerusi pelancongan di Melaka. Bukan itu saja, sesiapa yang dilihat berpotensi kami akan latih mereka sehingga peringkat antarabangsa,” kata pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi MARA Shah Alam ini.

Sebelum ini, Usamah hanya menawarkan kelas memanah dan menunggang kuda. Tetapi mulai hujung bulan ini Pusat Ekuin Ladam Merah akan menyediakan kelas memanah berkuda sesudah jurulatih juara dunia memanah berkuda iaitu Mihai Cozmei dan Katariina Albrecht dari Romania datang ke Pusat Ekuin Ladam Merah untuk mengajar 25 peserta bertuah pada 28 hingga 31 Julai ini.

Katanya, pada masa akan datang dia mahu menambah jumlah kuda dalam kuantiti besar, menaik taraf fasiliti arena menjadi lebih besar dan membina trek untuk sukan memanah berkuda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 12:54 PM