SUKAN kuda lasak memerlukan hubungan kuat antara kuda dan penunggang. - FOTO Shahril Badri Saali
SUKAN kuda lasak memerlukan hubungan kuat antara kuda dan penunggang. - FOTO Shahril Badri Saali
Nurul Husna Mahmud


ALAH bisa, tegal biasa adalah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan perjalanan diharungi Nadiah Mohamad selaku atlet sukan kuda lasak di negara ini.

Menurut wanita berusia 38 tahun ini, sukan kuda lasak atau 'endurance equestrian' biasanya dipelopori kaum adam dan situasi itu memaksanya bersaing bersama mereka.

"Sukan kuda itu sendiri eksklusif kerana memerlukan pemiliknya membelanjakan sebahagian besar untuk memiliki baka yang baik kerana dalam sukan ini sendiri kuda adalah 'atletnya'.

"Untuk menjadi atlet terbaik perlu melabur bukan hanya kewangan, tetapi juga tenaga dan usaha.

"Sebelum terbabit secara langsung iaitu menjadi pelumba atau atlet dalam sukan kuda lasak, saya dan suami, Mohd Firdaus Abdul Rahman terlebih dahulu menjadi kru sokongan kepada pasukan lain.

"Kami belajar dengan menjadi kru sokongan termasuk menjaga stesen air, kuda dan sebagainya sejak 2015.

"Selepas setahun baru saya mula jalani latihan menunggang kuda bersama jurulatih untuk persiapan menyertai kejohanan besar antaranya Piala Raja Muda pada 2017 di Terengganu International Park, Lembah Bidong, Setiu Terengganu," katanya.

SUKAN kuda lasak menjadi pilihan Nadiah. - FOTO Shahril Badri Saali
SUKAN kuda lasak menjadi pilihan Nadiah. - FOTO Shahril Badri Saali

AKSI Nadiah ketika sesi latihan bersama rakan penunggang dari kandang kuda sekitar Jenderam Hilir. - FOTO Shahril Badri Saali
AKSI Nadiah ketika sesi latihan bersama rakan penunggang dari kandang kuda sekitar Jenderam Hilir. - FOTO Shahril Badri Saali

Sokongan tidak berbelah bahagi suami menjadi penguat semangat Nadiah pergi jauh dalam sukan lasak terbabit.

"Ramai wanita kurang berminat menyertai sukan kuda lasak kerana ia memerlukan stamina dan kekuatan mental.

"Kalau orang beranggapan menunggang kuda tidak meletihkan kerana hanya duduk, hakikatnya prestasi penunggang perlu setara dengan kekuatan kuda.

"Persiapan sebelum perlumbaan yang mengambil masa dua hingga enam bulan bagi memastikan diri betul-betul bersedia. Rutin lain ialah saya juga mengayuh basikal.

"Dalam perlumbaan kuda lasak, cabaran ditentukan berdasarkan jauh jarak perlu diharungi untuk menamatkan saingan.

"Contohnya perlumbaan pada 2018 untuk jarak 80 kilometer (km), saya bersaing sehingga lewat malam dan melewati pelbagai halangan antaranya hutan serta jirat Cina," katanya.

Tahun itu juga Nadiah berkata, dia yang berbaki lagi lima kilometer ketika pusingan kedua untuk menamatkan 80km jarak pada hari terbabit, mengalami insiden jatuh kuda sehingga perlu menarik diri.

"Dalam perlumbaan pada 2018, saya mengalami insiden jatuh kuda. Saya terlepas pandang kedudukan kuda, mata saya 'terkulai' terkena kaki kuda.

SUAMI pendorong kuat Nadiah bergelar atlet sukan kuda lasak.
SUAMI pendorong kuat Nadiah bergelar atlet sukan kuda lasak.

KECEDERAAN dialami ketika terjatuh dalam pertandingan pada 2018.
KECEDERAAN dialami ketika terjatuh dalam pertandingan pada 2018.

"Saya tidak serik kerana setiap kejadian itu ada hikmah dan mengajar menjadi lebih baik untuk setiap kali perlumbaan," katanya.

Kata Nadiah, sepanjang pembabitan dalam sukan kuda lasak, dia melihat potensi sukan itu sama untuk wanita.

"Sudut positif lebih banyak berbanding kesusahan terutama bagi wanita yang menjaga kesihatan dan mahu aktif, tetapi mahu mengenakan penampilan sopan.

"Sukan kuda lasak tidak mewajibkan wanita mengenakan pakaian ketat dan ada kelonggaran asalkan mengenakan seluar dan kasut yang sesuai untuk menunggang kuda.

"Lagi satu untuk wanita, sukan ini boleh membantu mencantikkan tubuh. Berdasarkan pengalaman saya menunggang selepas empat bulan bersalin anak ketiga, saya perasan berat badan saya cepat turun dan rasa lebih cergas," katanya.

Nadiah ketika ini mewakili Khalifah Arabian Endurance Team (KAET) berharap lebih ramai wanita memeriahkan sukan kuda lasak dan mencipta nama di peringkat dunia.

Nadiah antara atlet wanita yang menyinar dalam sukan kuda lasak apabila memenangi tempat terbaik dalam beberapa kejohanan disertainya.

Pencapaian terbaik adalah tempat pertama di Southeast Asia Cup 2016 dan tempat keempat piala Sultan Mizan Cup 2019 dengan jarak perlumbaan 120km di belakang pesaing wakil Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 7:00 AM