Isabelle menerima anugerah yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. IHSAN ISABELLE LONJUING SAYEED
Isabelle menerima anugerah yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. IHSAN ISABELLE LONJUING SAYEED
Recqueal Raimi

Tuaran: Isabelle Lonjuing Sayeed yang mencatat sejarah sebagai pelatih kuda pacuan termuda di dunia pada empat tahun lalu, menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Sabah.

Dia dikurniakan Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K) oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu pada 7 Oktober lalu.

Ia juga menjadikan Isabelle sebagai penerima darjah kebesaran bintang dan pingat kehormatan termuda di Sabah.

Tidak berakhir di situ, Isabelle yang juga pemilik dan pengasas ILS Polo Racing Equestrian di Royal Sabah Turf Club (RSTC) Tambalang di sini, turut menerima Anugerah Raising Star Of Polo daripada Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA).

Anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diadakan dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada 29 September lalu.

Atas kecemerlangan Isabelle menjadi pelatih kuda pacuan termuda di Asia Tenggara sebelum ini, dia turut merupakan kapten pasukan polo wanita di Sabah dalam pasukan El Viento Polo dan menjadi joki wanita pertama dan termuda di Malaysia.

Anugerah Raising Star Of Polo RMPA itu juga sekali gus diperoleh Isabelle sebagai penerima pertama dan termuda dari Sabah.

"Saya bekerja keras melaksanakan hobi sebagai kerjaya utama saya untuk mencapai impian ini dan saya akan pastikan ia tidak berhenti di separuh jalan."

"Masih banyak yang saya perlu usahakan dan belajar untuk mengumpul pengalaman berkaitan kuda," katanya ditemui di ILS Polo Racing Equestrian.

Menurut Isabelle, sejak usia 14 tahun dia memberi perhatian terhadap bidang sukan berkuda termasuklah polo, perlumbaan, kelas ekuestrian serta kuliah dengan kerjasama pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Sains Kuda dan Pengurusan Kuda.

"Di sini (ILS Polo Racing Equestrian), saya menyediakan kelas pengurusan ekuin, kelakuan dan rawatan kuda, pemakanan, prestasi kuda dan penunggang selain fisiologi dan terapi kuda.

"Ia juga termasuklah sesi pembelajaran pembiakan kuda dan menjalankan penyelidikan berkaitan prestasi kuda bagi membolehkan ia menyesuaikan diri dengan cuaca panas di negeri ini," katanya.

Isabelle kini mempunyai 20 ekor kuda yang digunakan untuk kelas menunggang kuda termasuklah sebahagiannya digunakan untuk acara perlumbaan pada setiap minggu.

"Menerusi pembelajaran di kelas juga, saya mengajar pelatih baru atau pelajar mengenai teknik menunggang kuda, latihan kecergasan, peraturan lumba kuda, keselamatan menunggang dan sebagainya.

"Bukan mudah menjadi seorang pelatih, penunggang perlu mahir dalam semua aspek sebelum berkebolehan menjinakkan kuda dan bersedia menghadapi cabaran memandangkan ia adalah sukan yang lasak dan berisiko untuk cedera," katanya.

Isabelle yang turut meminati bidang fotografi dan bersekolah di Sayfol International School bercita-cita menjadi doktor veterinar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 4:38 PM