TANGKAP layar rakaman mangsa dipukul kawan-kawannya. FOTO tular
TANGKAP layar rakaman mangsa dipukul kawan-kawannya. FOTO tular
Abdul Rahemang Taiming


Kunak: Polis sudah menahan kumpulan remaja yang terbabit dalam pergaduhan sehingga tular di media sosial semalam.

Seramai tujuh individu termasuk mangsa yang masing-masing berumur antara 14 hingga 17 tahun ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada jam 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di Tapak Tamu Pekan Kunak, jam 12.30 tengah hari pada 28 Disember lalu.

Menurutnya, suspek yang memukul mangsa adalah kawan sekampung yang membesar bersama.

"Punca kejadian disebabkan mangsa menjual barang yang dibeli secara kongsi seperti barangan lusuh tanpa pengetahuan yang lain manakala hasil jualan tidak dibahagi sama rata.

"Apabila kawan-kawan mengetahui perbuatan itu, mangsa sendiri yang meminta didenda dengan cara dipukul beramai-ramai sebagai hukuman atas perbuatannya," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Sabarudin berkata, selepas kejadian itu mangsa dan kawan-kawannya berbaik semula seperti sedia kala.

Katanya, tiada kecederaan parah dialami mangsa selain dia juga tidak mengetahui bagaimana video berkenaan boleh tersebar dan tular.

Terdahulu, menerusi satu rakaman video berdurasi 28 saat memaparkan mangsa dipegang daripada arah belakang sebelum tendang dan ditumbuk bertubi-tubi oleh lima yang lain.

Selain mencederakan mangsa, tindakan ganas mereka juga seolah-olah tidak menghormati atau menghiraukan laungan azan yang berkumandang ketika itu.

Malah perbuatan tanpa belas kasihan itu turut dirakam oleh seorang individu lain dipercayai rakan kepada kelima-lima remaja terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 11:33 AM