NAS Iman Nas Khalid, 9, menolong ibu bapa  membersihkan kediaman mereka di Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang dipenuhi lumpur akibat banjir. FOTO Aizuddin Saad.
NAS Iman Nas Khalid, 9, menolong ibu bapa membersihkan kediaman mereka di Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang dipenuhi lumpur akibat banjir. FOTO Aizuddin Saad.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Memahami kesengsaraan dilalui mangsa banjir, kerajaan menyediakan sokongan menerusi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi meringankan beban golongan terbabit.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lima insentif pemberian tunai disediakan oleh kerajaan yang keseluruhannya mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR), malah mencapai sehingga RM61,000 bagi individu alami kemusnahan rumah.

Katanya, ia adalah usaha mengurangkan bebanan rakyat tanpa mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Pertama, Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 berbanding RM500 sebelum ini. Bayaran mula diberikan sejak 27 Disember lalu iaitu 10 hari selepas kejadian banjir berbanding sebelum ini yang memakan masa tiga hingga enam bulan.

"Ini akan memanfaatkan lebih 45,000 ketua isi rumah. Angka yang akan menerima bantuan ini boleh bertambah ramai apabila kita selesai mengenal pasti mereka yang terkesan tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Setakat ini, seramai 20,000 orang sudah menerima bantuan itu," katanya dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu 2022, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, baucar tunai bernilai RM500 diberikan kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi pembelian barangan elektrik di premis atau platform e-dagang diiktiraf oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bermula 7 Januari.

Antara lain adalah pemberian diskaun dan baucar tunai RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan banjir bermula bulan ini.

"Saya faham dan sedar bahawa banyak kenderaan yang rosak teruk akibat musibah banjir yang menjejaskan bukan hanya pergerakan tetapi juga punca pendapatan. Bagi pemilik Perodua dan Proton, syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih di samping diskaun 50 peratus ke atas alat ganti.

"Manakala syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 untuk kerja pembaikan rumah yang mengalami kerosakan tidak serius, manakala bagi kerosakan serius, kerajaan akan mengurus baik pulih dengan kos sehingga RM15,000 dan sehingga RM56,000 setiap unit rumah dibina baharu (bagi rumah musnah).

Katanya, kerajaan turut bersetuju memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

"Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberi sinar baharu kepada Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 9:11 PM