Antara kenderaan yang ditenggelami air. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Antara kenderaan yang ditenggelami air. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Tarikh akhir tuntutan inisiatif Baucar Diskaun Automatif Keluarga Malaysia adalah pada 31 Mac 2022.

Pengguna juga dinasihatkan untuk segera membuat tuntutan dari pusat servis/pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dengan inisiatif Baucar Diskaun Automatif Keluarga Malaysia ini, kerajaan terus komited untuk memastikan bantuan berbentuk holistik kepada Keluarga Malaysia khususnya yang terkesan dengan bencana banjir supaya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin.

"Untuk memanfaatkan baucar diskaun ini, pemilik kenderaan tidak perlu membuat sebarang permohonan.

"Mereka boleh menebus baucar di pusat servis atau pengedar sah untuk syarikat automotif yang terbabit.

"Pengurangan kos pembaikan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah.

"Setakat ini, hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara, telah bersetuju untuk menyertai inisiatif ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, senarai syarikat yang terbabit bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutamanya untuk motosikal akan dikemaskini sepanjang tempoh pelaksanaan.

"Pemilik kenderaan boleh menghubungi syarikat automotif berkenaan untuk mengetahui pusat servis yang berdekatan," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan mengalu-alukan langkah Perodua dan Proton untuk menawarkan diskaun 50 peratus ke atas kos alat ganti.

Perodua juga telah menawarkan upah kerja pembaikan secara percuma.

"Kerajaan menggalakkan syarikat automotif yang lain untuk turut menawarkan insentif lebih baik untuk pelanggan," katanya.

Di bawah inisiatif ini, kerajaan memberikan sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

Inisiatif ini adalah usahasama antara kerajaan dan syarikat automotif di mana syarikat akan menawarkan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Kemudahan Bantuan Bencana bagi meringankan beban perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut ditingkatkan daripada RM200 juta kepada RM500 juta.

Katanya, ciri-ciri kemudahan itu juga telah ditambahbaik, di mana jumlah pembiayaan maksimum ditambah daripada RM500,000 kepada RM700,000 untuk PKS, dan daripada RM75,000 kepada RM150,000 untuk perusahaan mikro.

"Selain itu, tempoh pembiayaan maksimum dipanjangkan daripada lima tahun kepada tujuh tahun," katanya.

Senarai syarikat automotif:

1) Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua)

2) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton)

3) Tan Chong & Sons Motor (Nissan)

4) UMW Toyota Motor

5) Honda Malaysia

6) Mitsubishi Motors Malaysia (MMM)

7) Volvo car Malaysia

8) TC Euro Cars (Renault)

9) Mercedes-Benz Malaysia

10) BMW Malaysia

11) Sime Darby Motor Group (untuk Ford, Hyundai dan lain-lain)

12) Mazda, Peugeot dan KIA

13) TC Subaru

14) Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM)

15) Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd

16) Boon Siew Honda Sdn Bhd

17) Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas)

18) Mofaz Motorsikal Sdn Bhd

19) KMSB Motors Sdn Bhd (Suzuki)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 7:04 PM