KHAIRY berbual dengan graduan selepas Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, semalam.
KHAIRY berbual dengan graduan selepas Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, semalam.

Putrajaya: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diharap tidak menjejaskan pembabitan rakyat negara ini terhadap aktiviti sukan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, alatan dan aktiviti sukan tidak boleh dikecualikan GST kerana sebelum ini banyak barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan GST.

“Rakyat kena faham GST untuk kebaikan dan pembangunan ekonomi negara. Semua pihak kena terima hakikat, jika kita minta per alatan sukan dikecualikan GST saya percaya selepas ini ada pihak lain yang menghantar senarai barang untuk dikecualikan GST, jadi kami mahu elakkan situasi ini,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas menyampaikan sijil dan diploma kepada 5,071 graduan pada Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN/IKBTN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Khairy mahu industri menawarkan gaji setimpal dengan kemahiran dimiliki graduan IKBN/IKTBN.

Menurutnya, kebanyakan graduan di dua institusi ini bersiap sedia bekerja.

“Latihan menyeluruh diterapkan IKBN/IKTBN juga diharap membuka mata majikan untuk mengambil graduan berkenaan bekerja.

“Kami bekerjasama dengan industri malah, graduan dikeluarkan berpotensi tinggi,” katanya.

Katanya, sebagai contoh, gaji diberikan kepada siswazah Diploma Lanjutan RM2,000 sebulan namun, dengan kemahiran tinggi dimiliki mereka layak ditawarkan gaji sehingga RM2,500 sebulan.

Khairy berkata, kebolehpasaran graduan IKBN pada tahun lalu adalah mencecah 83 peratus dan mereka mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

“Menerusi transformasi yang dilaksanakan kini, saya yakin sasaran 90 peratus kebolehpasaran graduan IKBN dapat dicapai menjelang tahun 2016,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 10:29 AM