GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Mahu pekerja pengalaman tanpa memberi peluang untuk menimba pengalaman menjadi antara 'halangan' graduan era pandemik ini.

Malah, ada majikan yang menawarkan gaji minimum pada paras RM1,200 sebulan untuk graduan memiliki ijazah sarjana muda sekali gus menjadikan peluang semakin mengecil.

Graduan sebuah universiti awam, Mohammad Rezza Abdullah Bahida, 29, berkata cubaannya untuk mendapatkan pekerjaan sejak menamatkan pengajian tiga tahun lalu masih menemui jalan buntu.

Katanya, stigma graduan memilih kerja perlu diletak pada konteks yang betul kerana kebanyakan mereka ditawarkan sesuatu yang tidak setimpal dengan latar belakang akademik.

"Pelbagai kerja saya mohon sesuai dengan ijazah dalam bidang sains politik, namun jawapan yang diterima masih hampa.

"Majikan mahukan graduan berpengalaman, namun dari mana kami mahu dapatkan pengalaman jika peluang tidak diberikan.

"Cubaan demi cubaan masih gagal dan ditambah pula pandemik Covid-19 menyebabkan peluang semakin samar," katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang berasal dari Sibu, Sarawak berkata, majikan di negerinya juga menawarkan gaji minimum RM1,200 hingga RM1,400 kepada graduan sepertinya.

Katanya, tawaran itu sudah pasti tidak sesuai kerana ia akan 'membunuh' pasaran graduan pemegang ijazah apabila ia menjadi trend majikan.

"Jangan kata graduan memilih kerja dan mahukan gaji yang tinggi saja kerana tawaran perlu setimpal dengan latar belakang akademik kami.

"Apabila graduan baharu yang menerima tawaran gaji sedemikian, ia akan 'membunuh' pasaran graduan lain.

"Malah, ada majikan yang mengambil kesempatan menawarkan gaji sedemikian dan menggunakan konsep 'take it or leave it' kerana yakin ramai yang masih mahu," katanya.

Menurutnya, dia kini bekerja sebagai 'runner' untuk sementara waktu dan dalam masa sama melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang perniagaan.

Katanya, kerajaan diharap dapat mengemukakan dasar gaji minimum untuk graduan sesuai dengan bidang mereka agar tidak ditindas majikan ditambah pula dalam suasana pandemik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 7:20 PM