MUHAMMAD Syazrul Adli  memanfaatkan waktu PKP dengan menjual pakaian terpakai di TikTok.
MUHAMMAD Syazrul Adli memanfaatkan waktu PKP dengan menjual pakaian terpakai di TikTok.
Oleh Redzuan Muharam


Pandemik Covid-19 tidak hanya mengubah cara hidup masyarakat seluruh dunia dengan normal baharu, malah ramai yang hilang mata pencarian dan terpaksa melakukan pekerjaan lain buat sementara waktu bagi mencari rezeki.

Turut merasai kesannya adalah golongan atlet yang dulunya sibuk menjalani latihan dan menyertai kejohanan dalam serta luar negara tetapi kini terpaksa mengehadkan pembabitan dalam aktiviti sukan.

Bagaimanapun, kekangan itu tidak menjadi alasan untuk mereka mensia-siakan masa terluang sebaliknya ada yang menjadikan laman sosial sebagai lubuk mencari rezeki tidak kurang juga beralih bidang demi meraih pendapatan..

Georgetown: Sebelum pandemik Covid-19, kebanyakan masa Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli dihabiskan di trek balapan untuk menjalani latihan.

Bagaimanapun, kehidupan atlet olahraga, Muhammad Syazrul Adli, 20, berubah 180 darjah apabila beralih arah dengan menjual pakaian terpakai secara dalam talian.

Muhammad Syazrul Adli berkata, pembabitan dalam bidang perniagaan bukan bererti dia sudah bersara sebagai atlet sebaliknya salah satu inisiatif untuk mengembangkan minat dan mencari pendapatan sampingan.

Bermula dengan mempromosikan barangan jualan di Instagram (IG), Muhammad Syazrul Adli meluaskan pengaruhnya pula di TikTok dan percubaannya berhasil apabila jualannya mendapat sambutan setiap kali bersiaran langsung.

"Saya memang minat berniaga sejak dulu. malah ada jual pakaian sendiri secara sambilan ketika menuntut pengajian peringkat pra-universiti di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Sultan Ismail (SSTMI) lagi.

"Bagaimanapun, masa terluang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu memberi dorongan untuk saya berniaga lebih aktif bagi mencari duit poket.

"Saya pilih menjual pakaian terpakai iaitu sweatshirt dan hoodie kerana minat dan nampak ada permintaan, tetapi mula jual di IG dahulu sebelum beralih ke TikTok pada akhir tahun lalu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi cabaran awal, Muhammad Syazrul Adli berkata, enam bulan pertama adalah waktu paling sukar buatnya kerana perniagaan dijalankan masih baru dan belum stabil.

Bagaimanapun, Muhammad Syazrul Adli tidak berputus asa dan terus berusaha sehingga pengikut bertambah dan mendapat pelanggan tetap.

"Hasil keuntungan diperoleh saya gunakan sebagai modal untuk membeli pakaian gred yang lebih baik, berkualiti dan berjenama.

"Kini, saya sudah ada pembekal sendiri dan paling seronok apabila ramai yang beri sokongan dengan membeli serta menonton siaran langsung sesi jualan di TikTok," katanya yang aktif sukan sejak berusia 12 tahun dan pernah memenangi pingat gangsa kategori 100 meter ketika Sukan Malaysia (Sukma) di Perak pada 2018 dan South East Asia Youth Games di Thailand, empat tahun lalu.

Muhammad Syazrul Adli berkata, pembabitan dalam bidang perniagaan bukan hanya memberi pulangan malah mengajarnya erti berdikari dan menjadi seorang yang lebih berdisiplin.

Katanya, ia kerana dia masih menuntut dalam pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor jadi perlu bijak membahagikan masa antara perniagaan dan pelajaran supaya beroleh manfaat daripada kedua-duanya.

"Buat masa ini, keadaan masih terkawal kerana sesi kuliah diadakan secara maya pada sebelah siang.

"Jadi, ia tidak mengganggu sesi jualan siaran langsung yang bukan diadakan setiap hari dan lazimnya pada waktu malam saja.

"Setakat ini, tiada percanggahan waktu di antara kedua-duanya malah saya gembira kerana sudah ada pendapatan sendiri walaupun saya masih belajar," katanya yang dijangka akan mewakili negeri Johor dalam Sukma pada tahun depan.

MUHAMMAD Uthman  ketika memenangi kejohanan boling.
MUHAMMAD Uthman ketika memenangi kejohanan boling.

Jadi ejen insurans cari pendapatan sampingan

Keinginan menimba pengalaman dan dorongan keluarga menyebabkan atlet sukan para, Muhammad Uthman Surur@Arif mencari pendapatan sampingan dengan bekerja sebagai ejen insurans.

Kesungguhan Muhammad Uthman, 31 yang mengalami Cerebral Palsy (CP) sejak 2013 selepas terbabit dalam kemalangan kereta terbukti apabila sanggup bekerja walaupun turut terikat dengan komitmen sebagai penuntut Sarjana Pengajian Islam di Open University Malaysia (OUM) kampus Kelana Jaya.

Berkongsi pengalamannya, anak keenam daripada lapan beradik itu yang aktif dalam sukan boling dan bola sepak berkata, dia bekerja di sebuah hotel sejak 2018 bagi menambah pendapatan dan kelangsungan hidup terutama dalam tempoh pandemik.

"Alhamdulillah, pihak hotel memahami kekurangan dan minat saya dalam sukan malah memberi kelonggaran dengan menyediakan jadual kerja pada waktu malam saja bagi membolehkan saya menjalani latihan dekat kem di sebelah siang dan pelepasan mengikuti pertandingan.

"Saya seronok bekerja di situ kerana majikan memberi layanan yang baik cuma ambil keputusan berhenti baru-baru ini dan kini jadi ejen insurans sepenuh masa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Uthman, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini diakui mengehadkan pergerakan dan memberi kesan kepadanya sebagai atlet.

"Antara kesannya adalah halangan untuk menyertai kejohanan dalam dan luar negara.

"Sesi latihan juga tergendala disebabkan penutupan pusat boling, sekali gus tidak dapat membuat latihan individu dan berkumpulan.

"Bagaimanapun, jurulatih ada mengesyorkan latihan yang boleh dilakukan di rumah sendiri seperti joging dan senaman rutin untuk mengekalkan otot.

"Di samping itu, saya turut gunakan masa yang ada ada untuk menonton kembali video latihan dan aksi pemain profesional yang lain di saluran Youtube serta Facebook," katanya yang pernah meraih emas dalam kategori individu dan regu bowling di Kejohanan Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dan gangsa dalam bola sepak kategori CP di Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017.

Berkongsi hala tujunya selepas pandemik berakhir, Muhammad Uthman berkata, dia akan meneruskan pengajian dan latihan yang sudah lama tertangguh.

"Selain itu, pasukan saya (bola sepak CP) juga sedang menunggu pemberitahuan untuk melakukan persediaan ke Piala Dunia di Barcelona, Sepanyol yang dijangka berlangsung pada April tahun depan.

"Perancangan lain adalah juga ada ke beberapa negeri untuk berjumpa dengan rakan sepasukan bagi berbincang mengenai masa depan kami dalam sukan," katanya.

Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal Azumu.

KBS komited jaga kebajikan atlet

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited bagi memastikan kebajikan atlet terpelihara dalam apa juga persekitaran termasuk ketika pandemik Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, buktinya KBS sentiasa membantu atlet negara terbabit dalam program latihan Majlis Sukan Negara (MSN) di bawah program Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (Mace) yang diwujudkan bagi membolehkan mereka membuat rujukan dalam merancang masa hadapan untuk persediaan awal dan kehidupan yang lebih terjamin.

Beliau berkata, program Mace juga menyediakan platform untuk melahirkan atlet yang kompeten melalui pendidikan formal dan tidak formal bagi membina laluan kerjaya mereka.

"Program Mace ini mencakupi 3 teras utama untuk menyokong ke arah kejayaan atlet apabila bersara iaitu pendidikan, kerjaya dan kebajikan.

"Jaringan kerjasama yang erat di antara MSN bersama pemegang taruh seperti badan korporat, syarikat swasta dan agensi yang lain akan menyediakan peluang dalam pendidikan, pekerjaan serta program keusahawanan kepada atlet ketika masih aktif dalam program sukan.

"Setiap atlet juga akan didedahkan dengan kemahiran insaniah (soft skill) yang penting bagi menambahkan lagi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang berguna kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harian Metro.

Tambah Faizal, MSN melalui Sekretariat Mace juga bekerjasama rapat dengan pihak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) serta Suruhanjaya Atlet daripada Majlis Olimpik Malaysia dalam melaksanakan beberapa program yang membabitkan bekas atlet tanpa mengira jenis sukan.

Bagaimanapun, Faizal menjelaskan kumpulan atlet disasarkan adalah mereka terbabit dalam program latihan sepenuh masa MSN dan perlu memperuntukkan masa lebih panjang bagi mengikuti latihan harian yang sememangnya memeritkan.

"Bagi memastikan keperluan atlet terjaga, Mace menjadi salah satu platfom yang boleh digunakan oleh atlet negara dalam mereka merencanakan masa depan masing-masing mengikut kecenderungan dan minat mereka sendiri.

"Sementara itu, MSN juga sudah menjalinkan kerjasama dengan banyak institut pengajian tinggi awam pengajian (IPTA) dan swasta di peringkat negeri melalui Program 1State:1University:1Centre (Program 1S1U1C) bagi memberi kelonggaran atlet negeri yang belum terpilih menjadi atlet negara untuk mendapat akses pengajian di institusi pengajian tinggi berkenaan selain terus mengikuti latihan sukan masing-masing.

"Program ini juga mendapat kerjasama daripada Majlis Sukan Negeri (MSN). KBS melalui MSN membuka ruang dan peluang pendidikan lanjutan tambahan kepada atlet samada atlet negeri mahupun negara supaya mereka mempunyai bekalan ilmu pengetahuan untuk meneruskan kerjaya mereka selepas bersara nanti," katanya.

Setiap atlet daripada mana-mana jenis sukan termasuk bukan tumpuan boleh mendapatkan maklumat lanjut, bantuan atau mengemukakan sebarang pertanyaan kepada Sekretariat Mace melalui talian Mace Careline iaitu 03-8992 9809 atau 8992 9778 pada waktu pejabat jam daripada jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang) atau menghantar kiriman e-mel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 8:13 AM