Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Seramai 25 Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan dijangkiti Covid-19 sejak pandemik itu menular.

Presiden Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia (Perkum Malaysia) Mohammad Faiz Asangku Abdullah, 47, berkata, jumlah dijangkiti itu berdasarkan pangkalan data daripada 53,431 orang OKU cacat penglihatan di Malaysia.

Beliau berkata, sejak pandemik bermula, tiga kematian dicatatkan membabitkan golongan berkenaan iaitu satu kematian tahun lalu dan dua kematian tahun ini.

"Covid-19 juga memberi kesan kepada pertubuhan yang banyak bergantung kepada sumbangan orang ramai dan pelbagai syarikat.

"Contoh, setiap bulan, kita menghantar antara 50 hingga 100 keping surat meminta sumbangan.

"Tetapi buat masa sekarang, terutamanya di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), reaksi daripada penyumbang sangat kurang iaitu antara dua hingga lima sahaja membalas dan selebihnya tiada jawapan," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun bank RHB di 2143 9460 0064 22 atas nama Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia.

Beliau ditemui pada majlis pemberian sumbangan kepada OKU cacat penglihatan anjuran Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia (Perkum Malaysia) dan Sifu Bikers di sini, baru-baru ini.

Datuk Seri NW Hisham Wahab (dua kanan) berkatakan sesuatu selepas menyampaikan sumbangan kepada OKU penglihatan, Mautiprika Abdul Taif, 43 (kiri). FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Datuk Seri NW Hisham Wahab (dua kanan) berkatakan sesuatu selepas menyampaikan sumbangan kepada OKU penglihatan, Mautiprika Abdul Taif, 43 (kiri). FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

Penasihat Perkum Malaysia Datuk Seri NW Hisham Wahab berkata, semua pihak terkesan, termasuk penyumbang, sepanjang tempoh pandemik ini.

"Hampir semua ahli Perkum iaitu kira-kira 3,000 orang terkesan dan tiada pendapatan. Kebanyakannya bekerja sebagai tukang urut atau memiliki perusahaan rumah urut, operator dan busking, semua tidak dapat beroperasi," katanya.

Sementara itu, Pengasas Sifu Bikers yang juga pendakwah terkenal, Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau Ustaz Hanafi berkata, pihaknya sudah merancang iaitu pada setiap Jumaat, sejak awal PKP, untuk membantu OKU cacat penglihatan dari rumah ke rumah.

"Kami tubuhkan Pusat Amal Covid-19 untuk bergerak. Pada masa sama, kami juga mendapat kerjasama Hospital Selayang untuk siapkan PPE (pakaian perlindungan diri) untuk dipakai petugas barisan hadapan.

"Alhamdulillah, hingga ke hari ini, kami boleh terus melakukan aktiviti begitu.

"Insya-Allah, minggu depan (Jumaat) kita akan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk program sama," katanya.

Beliau berkata, perancangan seterusnya adalah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam program vaksin Covid-19 untuk golongan OKU cacat penglihatan yang tercicir menerima suntikan itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 1:39 PM