DOLLA
DOLLA
Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my

Bermula dengan single Dolla Make You Wanna yang dilancar pada Mac tahun lalu, kemunculan kumpulan Dolla di persada seni tanah air pada saat pandemik Covid-19 melanda Malaysia pernah dilihat agak 'berisiko'.

Ia berikutan sebagai kumpulan penyanyi baharu yang mula hendak bertapak dan terus berhadapan situasi kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 kerana Covid-19, semestinya sukar untuk melakukan rangka promosi single mereka dalam skala besar.

Namun, sudah rezeki Dolla meskipun kemunculan mereka ketika PKP dan urusan promosi single Dolla Make You Wanna agak terhad, tetapi lagu itu berjaya memperkenalkan bakat mereka kepada peminat dan kini terus maju mengorak langkah.

Lebih setahun aktif dalam kerjaya seni mereka pada era pandemik ini, Dolla sudah menghasilkan empat single buat peminat iaitu Dolla Make You Wanna, Impikan, Watch Me Glow dan Raya Raya Raya.

Pernah muncul juga dengan telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow pada Mei lalu yang mengangkat kisah hidup mereka, ternyata kumpulan dianggotai empat wanita berkaliber ini bijak mengguna peluang untuk mengukuh bakat.

Malah, Dolla yang pernah disebut-sebut sebagai 'jelmaan' kumpulan K-pop pujaan ramai BLACKPINK sebelum ini, ternyata sudah berjaya menepis tanggapan itu yang mana ia hanya inspirasi mereka.

Justeru, sempena Hari Malaysia ini, ikuti luahan rasa anggota Dolla iaitu Wan Sabrina Wan Rusli atau dikenali, Sabronzo, Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya), Tabitha Ariel Lam Lianne (Tabby) dan Angelina Chai (Angel) sebagai anak Malaysia bersama sisipan hiburan, RAP.

Sabronzo

"Bagi saya, Hari Malaysia adalah hari untuk pengukuhan cinta, rasa hormat dan pelukan bagi orang-orang dari pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Ia secara tidak langsung dilihat mampu menonjolkan kesatuan etnik dan bangsa yang berbeza dengan menjadikannya sebagai simbolik unik," katanya.

Turut mengulas kejayaan dimiliki Malaysia selepas 64 tahun merdeka, Sabronzo berkata, sangat hebat kerana banyak pembangunan sudah dinikmati oleh rakyat, termasuk arus kemodenan yang luas.

SABRONZO
SABRONZO

"Saya sangat berharap kita semua sebagai warganegara terus menempa kejayaan. Bahkan, banyak cabaran besar yang sudah kita kecapi selaku rakyat Malaysia selama ini dan semoga kemerdekaan ini terus berkekalan.

"Selain itu, situasi pandemik yang berlaku ketika ini juga menguatkan kita semua untuk bersatu padu, berganding bahu, membantu dan bersama-sama berusaha keluar dari kemelut wabak ini. Semoga kita berjaya," katanya.

Tabby

"Untuk saya pula, Hari Malaysia adalah hari untuk melihat kembali semua pencapaian yang kita dapat sebagai sebuah negara merdeka serta berbilang kaum dengan kehidupan aman dan harmoni.

"Selain itu, memandangkan ia cuti umum saya selalunya meluangkan masa bersama keluarga dengan melakukan aktiviti kegemaran serta kami sangat bersyukur dapat hidup di Malaysia yang seharusnya sentiasa dihargai. Kami cintakan Malaysia," katanya.

TABBY
TABBY

Berbicara kemerdekaan negara pula, katanya kita semua beruntung dan patut rasa bertuah. Ujar Tabby, dia selesa bersyukur dan melihat positif terhadap Malaysia dari pelbagai sudut pencapaian yang sudah dibuktikan.

"Walau apa pun cabaran, harapan saya pada negara sekarang adalah kita semua berjaya menangani situasi pandemik ini dengan sebaik-baiknya dan bangkit semula.

"Saya yakin, kita sebagai warga Malaysia pasti mampu melakukannya untuk menikmati kehidupan lebih baik selepas ini. Terus-terang, saya tidak sabar untuk melihat Malaysia bersinar semula," katanya.

Syasya

"Hari Malaysia pada pandangan saya ialah hari di mana kita sebagai rakyat negara mengenang semula kejayaan tokoh-tokoh negarawan terdahulu yang berjuang sepenuh jiwa mereka untuk negara ini dan penyatuan dengan Sarawak dan Sabah pada 1963.

"Terlalu banyak dan besarnya jasa yang dicurahkan perwira terdahulu untuk Malaysia yang akhirnya maju seperti sekarang. Saya cuma mampu menghargai jasa mereka kerana tanpa tokoh pejuang lalu, tidak mungkin kita dapat merasakan keharmonian yang ada pada masa ini," katanya.

Apabila berbicara mengenai kemerdekaan tanah air, Syasya berkata, dia hanya berasa bangga. Katanya perasaan bangga yang teramat sangat ini sukar diungkap dengan kata-kata kerana dipenuhi rasa cinta di hati.

SYASYA
SYASYA

"Sebagai rakyat Malaysia, saya memang sangat bangga dengan kejayaan yang sudah negara kita capai selama ini. Malaysia berkembang maju seiring peredaran zaman yang berteknologi.

"Selain itu, biarpun ramai yang menghadapi kesukaran hidup akibat Covid-19, kebanyakan rakyat Malaysia yang lain turut sama membantu dan menghulurkan sumbangan. Perkara ini sangat membuat saya terharu kerana kita rakyat Malaysia memang tidak mementingkan diri dan sedia membantu," katanya.

Angel

"Bila sebut mengenai Hari Malaysia, saya teruja kerana ketika ini seluruh negara termasuk masyarakat di Sarawak dan Sabah juga meraikannya. Ia hari yang paling istimewa buat kita semua bangsa di Malaysia bersatu menyebarkan rasa cinta terhadap negara.

"Semangat kenegaraan yang ditunjukkan oleh kita semua sebagai rakyat Malaysia sangat menakjubkan. Tidak kira agama, bangsa dan budaya, masing-masing begitu toleransi dan saling menghormati. Bumi Malaysia ini penuh berkat dan sangat indah," katanya.

ANGEL
ANGEL

Selama lebih enam dekad negara merdeka, Angel berkata, takkan kita tidak sedikit pun rasa bersyukur. Ujarnya, dia gembira jadi anak Malaysia kerana negara ini selamat didiami dan kurang bencana alam.

"Apa yang pasti, selama 64 tahun negara kita sudah merdeka ini pelbagai cabaran ditempuh dan sekarang yang masih belum reda ialah Covid-19. Diam tak diam, dah hampir dua tahun kita berhadapan pandemik ini.

"Bagaimanapun, saya harap kita semua terus cekal dan kekal tabah dalam meneruskan kehidupan mendatang kerana saya percaya kita pasti berjaya mengatasi masalah ini selama teguh bersama. Pasti ada cahaya nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 6:00 AM