KISAH masyarakat, sebab utama Beto tertarik pada skrip drama Penghulu Interim.
KISAH masyarakat, sebab utama Beto tertarik pada skrip drama Penghulu Interim.
Norhayati Nordin


KEWIBAWAAN pelakon Beto Kusyairy, 41, dalam setiap watak lakonannya tidak mampu disangkal lagi. Beri apa saja watak kepadanya sama ada orang kaya, miskin, baik , jahat, teraniaya dan sebagainya pasti akan dihasilkan sebaik mungkin.

Malah, setakat ini belum pernah dengar lakonan Beto dikecam atau mendapat kritikan hebat daripada penonton. Mereka biasanya puas dan suka dengan watak lakonannya.

Terbaharu, Beto tampil dalam drama yang begitu dekat dengan masyarakat berjudul Penghulu Interim di Awesome TV yang ditayangkan sejak 31 Julai lalu.

Melakonkan watak Borhan, dia adalah pengerusi jawatankuasa (JKK) di flat Seri Kenanga yang bertanggungjawab menyelesaikan segala masalah dihadapi penduduk setempat dengan pelbagai situasi konflik dihadapi.

Berbicara mengenai drama ini, Beto berkata, dia tertarik dengan naskhah Penghulu Interim kerana skrip ditulis oleh Aloy Paradoks itu adalah karya yang berpijak di bumi nyata. Ia adalah paparan kisah kehidupan masyarakat.

"Saya sukakan naskhah ini sebab skripnya. Apatah lagi kita sekarang ini selalu sangat disogok dengan kisah fantasi yang boleh buat orang terawang-awang apabila menontonnya.

GANDINGAN mantap dengan Nadiya Nissa sebagai suami isteri.
GANDINGAN mantap dengan Nadiya Nissa sebagai suami isteri.

"Pada saya tetap kena ada naskhah yang berpijak di bumi nyata iaitu kisah marhaen, kisah benar yang berlaku dan penonton juga mudah nak merasai sesuatu kejadian itu," katanya.

Menurut pelakon berkaliber ini, drama Penghulu Interim adalah cerita yang boleh dinikmati semua orang kerana ia memaparkan kisah biasa berlaku dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Ditanya kesediaannya jika berpeluang menjadi pengerusi atau pemimpin dalam realiti sebenar, Beto berkata, dia tidak sanggup memegang apa-apa jawatan yang memerlukan dia menggalas tanggungjawab besar.

"Saya tak sanggup nak pikul tugas besar ini (sebagai pemimpin). Bila kita jadi pemimpin atau kepala, pastinya kita akan kurang berfikir mengenai keluarga sendiri, tapi perlu memikirkan nasib orang lain.

"Apabila kita ada ramai 'anak buah' di bawah yang membantu di sekeliling, ia sedikit sebanyak akan bawa tempias pada keluarga juga. Itu yang berlaku pada Borhan, dia terlalu memikirkan masalah penduduk di flat hinggakan keharmonian rumah tangganya terganggu.

"Saya tak nak perkara macam itu berlaku pada kehidupan sebenar saya. Bila dah tahu kita tak mampu melakukannya, kenapa saya nak ambil risiko juga. Sebagai Beto, saya tak sanggup dan tak mampu pikul tanggungjawab besar sebegitu kerana ia sangat berat" katanya.

Penghulu Interim terbitan Red Bean Productions dengan 24 episod turut dibintangi Nadiya Nissa, Issey Fazlisham, Roy Azman, Rosli Rahman dan ramai lagi.

BETO lakon watak Borhan, Pengerusi JKK dalam drama Penghulu Interim.
BETO lakon watak Borhan, Pengerusi JKK dalam drama Penghulu Interim.

Penghulu Interim ditayangkan setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam. Malah, hingga kini 'rating' penonton dicatatkan agak tinggi sekitar 900,000 hingga dua juta tontonan. Maklum balas diterima daripada penonton kebanyakannya sangat positif.

Serasi dengan Nadiya Nissa

Berganding sebagai suami isteri dengan Nadiya Nissa dalam Penghulu Interim disifatkan Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman sebagai kerjasama mudah dan senang membina keserasian.

Biarpun tidak selalu mendapat projek lakonan bersama, tapi Beto sudah mempunyai persepsi tersendiri pada kemantapan lakonan Nadiya.

"Sebenarnya bekerja dengan Nadiya ini, saya boleh umpamakan dia sebagai pemain badminton profesional yang mempunyai kepakaran hebat.

"Bagi macam mana gaya posisi serangan permainan sekalipun, pasti dia dengan selamba saja boleh dapat membalasnya balik. Jadi, pada saya mudah sangat bekerja dengan Nadiya," katanya.

Mengulas juga kelainan cuba dibawa dalam watak mereka, Beto berkata, dia dan Nadiya tidak boleh nak tunjukkan sangat kelainan sebab apa yang hendak dibuat perlu berlandaskan keperluan watak itu sendiri.

Berbicara cabaran berlakon di kawasan perumahan flat pula, katanya, masalah tetap ada kerana lokasi itu padat penduduk, tapi masih terkawal. Ditambah lagi, penduduk setempat sangat memberi kerjasama yang baik.

Drama Penghulu Interim arahan Jamal Khan ini menjalani penggambaran selama 40 hari ketika negara berdepan situasi pandemik ini.

Beto berkata, semuanya berjalan lancar kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 7:00 AM