KARYA tiga dimensi (3D) turut mampu dihasilkan. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Othman
KARYA tiga dimensi (3D) turut mampu dihasilkan. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Othman
Hafiz Ithnin

MINATNYA tercetus ketika muzik hip hop mula terkenal di Malaysia, sekitar pada 2000. Zaman kumpulan duo Too Phat dengan lagu Anak Ayam selain bermula dengan b-boy (breakdance).

Bakat melukis yang ada membuatkan pemilik nama Muhammad Afiq Othman mencuba elemen lain dalam genre hip hop iaitu grafiti.

Artis berusia 32 tahun itu berkata, ketika itu belum ada istilah ‘Street Art’, graffiti lebih ke arah ‘write’ (penulisan), ‘tag’ (signature) dan lukisan karakter di tembok.

“Minat makin mendalam kerana aktiviti ini boleh meluahkan ekspresi diri dan sebagai remaja pada waktu itu, grafiti memberikan adrenalin serta sangat menggembirakan.

“Grafiti membabitkan proses kreatif yang tinggi dan keupayaan teknikal yang mencabar. Proses eksplorasi ini yang menarik minat saya sehingga hari ini,” katanya.

Pemegang Sarjana Muda Seni dan Rekaan (pengkhususan seni halus) Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu tidak salah mengatur langkahnya untuk membina kerjaya bersandarkan minat dalam seni itu.

Benarlah dikatakan apabila untuk melakukan sesuatu ilmu menjadi asas segalanya dan mudah untuk seseorang itu mengusahakan sesuatu yang diminati. Buktinya pada 2016, Muhammad Afiq mempunyai syarikat dalam bidang seni lukis dan bertahan sehingga kini.

Jelasnya, sejak dari sekolah meletakkan azam untuk melukis sebagai kerjaya. Pada ketika ini, kemahiran keusahawanan perlu dipraktikkan. Memahami proses permintaan dan penawaran serta memahami konsep rezeki.

BERKARYA pada permukaan dinding kini dilihat satu seni yang semakin dihargai. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Othman
BERKARYA pada permukaan dinding kini dilihat satu seni yang semakin dihargai. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Othman

Anak kelahiran Tanjung Malim, Perak itu turut berkata, pada awalnya tiada siapa yang memberi galakkan memandangkan karya seni itu sering kali dianggap sebagai vandalisme.

Katanya, ketika di tingkatan lima, guru seni di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri memberi semangat dan peluang untuk membuat grafiti di sekolah. Di samping menerangkan dengan lebih mendalam mengenai seni dan grafiti serta berpeluang mengajar kawan lain untuk membuat grafiti.

“Selepas tamat sekolah, saya menyambung pelajaran di UiTM dan mengambil kursus seni halus. Selepas graduasi, genre ‘Street Art’ mula dikenali di Malaysia. Sebagai artis visual, kanvas tidak semestinya di dalam bingkai dan dipamerkan dalam galeri sahaja.

“Saya menganggap tembok di luar juga sebagai medium kanvas saya dan pameran karya ini bersifat umum supaya lebih ramai dapat melihat,” katanya.

Katanya, karya di luar dan dalam galeri berbeza. Barisan karya untuk galeri lebih ke arah Consciousness (kesedaran). Namun, karya di jalanan lebih menarik kerana mempunyai kebebasan dan aura yang berbeza.

“Cabaran utama menghasilkan karya ini adalah cuaca. Di Malaysia, cuaca terlalu panas menyebabkan hidrasi dan hujan pula membantutkan jadual untuk menyiapkan sesuatu karya memandangkan kebanyakan kawasan tidak berbumbung.

MUHAMMAD Afiq bersama karya seni jalanan yang memaparkan potretnya sendiri. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Othman
MUHAMMAD Afiq bersama karya seni jalanan yang memaparkan potretnya sendiri. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Othman

LUKISAN berilhamkan seni jalanan menjadi hiasan dalam rumah. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Othman
LUKISAN berilhamkan seni jalanan menjadi hiasan dalam rumah. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Othman

“Jika dalam keadaan baik termasuk tiada cabaran cuaca sesuatu karya jalanan yang menjadikan dinding sebagai kanvas boleh siap hanya dalam tempoh satu atau dua hari,” katanya.

Bakat dan pengalaman Muhammad Afiq dalam mengasilkan karya itu itu tidak dipelosok senyap dalam dirinya kerana dia juga sentiasa berlapang dada untuk berkongsi mengenainya kepada peminat bidang itu atau pelajar.

Katanya, dia pernah dijemput ke Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City di Tanjung Malim sebagai penceramah jemputan Pendidikan Seni Visual dan demonstrasi asas lukisan.

“Generasi pada hari ini lebih mudah untuk mencari sumber kerana terdapat pelbagai sumber untuk dirujuk terutama menerusi media sosial.

“Jangan mempersia bakat yang ada kerana masyarakat juga semakin lama semakin menghargai karya seni. Misalnya, dahulu seni jalanan dilihat aktiviti vandalisme, kini ia menjadi tarikan,” katanya.

Jelasnya, perkara lebih penting adalah memahami prinsip dan elemen suatu seni sebelum berkarya.

“Sesiapa yang menguasai pemahaman mengenai prinsip dan elemen ini pasti dapat menghasilkan karya yang bagus,” katanya yang memilih cat semburan akrilik sebagai media utama menghasilkan karya.

KARYA yang boleh menceritakan ekspresi artis lebih luas kepada masyarakat. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Othman
KARYA yang boleh menceritakan ekspresi artis lebih luas kepada masyarakat. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Othman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 6:30 AM