FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Singapura:Seorang remaja berusia 16 tahun menjadi antara penerima pampasan tertinggi kerana mengalami kesan sampingan serius selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Dia menerima pampasan bernilai SG$225,000 (kira-kira RM703,000).

Remaja berkenaan dilaporkan mengalami masalah jantung selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Dia dikatakan rebah di rumah selepas menyertai sesi angkat berat di gimnasium pada 3 Julai lalu iaitu enam hari selepas menerima dos pertama vaksin Pfizer.

Remaja itu kini sedang menjalani rawatan pemulihan dan dijangka keluar dari hospital pada minggu depan.

Di bawah Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin (VIFAP) yang dilancarkan awal tahun ini, pampasan sekali gus dibayar kepada penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan serius.

"Pembayaran tahap satu berjumlah SG$225,000 (RM703,000) seorang diberikan kepada dua penerima setakat ini," kata jurucakap Kementerian Kesihatan (MOH) kepada The Straits Times.

Ia bertujuan mengurangkan kebimbangan dalam kalangan penerima vaksin, sekali gus mendorong lebih ramai tampil menerima suntikan.

Menurut MOH, jumlah keseluruhan bayaran termasuk yang sedang diproses setakat ini adalah SG$782,000 (kira-kira RM2.4 juta) membabitkan 144 pemohon yang dinilai mengikut kriteria ditetapkan.

Laman sesawang MOH memaklumkan jumlah bantuan kewangan yang diberikan melalui VIFAP adalah tetap dan bergantung kepada tahap keseriusan kesan sampingan dialami pesakit.

Ia dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu yang pertama menyebabkan kematian atau kecacatan kekal serius dengan pampasan sekali bayar berjumlah RM703,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 6:30 AM