SINGAPURA. FOTO AFP
SINGAPURA. FOTO AFP
BERNAMA

Singapura: Lebih 113,000 individu di Singapura menerima dos pertama vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech, manakala lebih 50 individu menerima dos kedua mereka yang sekali gus menyempurnakan regimen penuh vaksinasi, setakat 27 Januari lepas.

Antara lebih 113,000 individu yang menerima vaksin itu, 432 kesan sampingan dilaporkan termasuk tiga kes anafilaksis yang menjadi permulaan reaksi alergi yang teruk.

"Anafilaksis adalah kesan sampingan yang diketahui namun jarang berlaku terhadap vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech," menurut Pengarah Perkhidmatan Perubatan di Kementerian Kesihatan republik (MOH) itu, Profesor Madya Kenneth Mak dalam kenyataan, ari ini.

Seperti vaksin lain, Mak berkata akan terdapat sebilangan kecil individu yang mudah mengalami reaksi alergi yang teruk semasa vaksinasi.

"Kami sudah mengambil langkah berjaga-jaga seperti saringan pravaksinasi dan pemerhatian pasca-vaksinasi bagi memastikan bahawa program vaksinasi kami dapat dilaksanakan dengan selamat.

"Kesemua tiga kes anafilaksis sudah menerima rawatan segera dan berada dalam keadaan baik," katanya.

Menurut kenyataan itu, individu terbabit yang berusia dalam 20-an dan 30-an, mengalami pelbagai gejala seperti ruam, sesak nafas, bibir bengkak, sakit tekak dan pening.

Ketiga-tiga individu mempunyai sejarah alergi termasuk rinitis alergi dan alergi makanan seperti kerang-kerangan, namun tidak mempunyai sejarah anafilaksis yang akan mengecualikan mereka daripada menerima vaksin itu, katanya.

Sementara itu, kebanyakan yang lain melaporkan gejala biasa seperti bengkak serta kesakitan di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, sakit badan, pening, rasa mual dan reaksi alergi iaitu gatal, ruam bengkak mata atau bibir.

Meskipun menjangkakan terdapat keperluan seperti ini, MOH berkata, pihaknya akan memperkenalkan satu program bantuan kewangan kecederaan vaksin bagi vaksinasi Covid-19 (VIFAP) bagi menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas sekiranya berlaku kesan sampingan yang dinilai mempunyai kaitan dengann vaksin Covid-19 yang diberikan di Singapura.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 8:53 AM