PFIZER/BioNTech and AstraZeneca. FOTO AFP
PFIZER/BioNTech and AstraZeneca. FOTO AFP
Agensi

Singapura: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura menerima 6,900 rayuan daripada rakyat negara itu yang mahu mendapatkan suntikan awal vaksin Covid-19.

Menurut MOH dalam kenyataan, kebanyakan rayuan membabitkan permohonan perjalanan ke luar negara atas urusan kerja, belajar dan tujuan lain seperti rawatan kesihatan.

CNA melaporkan, MOH minggu lalu mengumumkan walaupun memberi tumpuan kepada warga tua dan kumpulan keutamaan lain, kementerian itu akan menimbang bagi membenarkan rakyat Singapura dan penduduk tetap yang mempunyai 'sebab luar biasa' bagi menerima vaksin lebih awal.

Ini termasuk mereka yang mempunyai 'keperluan mendesak' untuk ke luar negara bagi tujuan belajar, menamatkan pengajian rasmi atau perlu ditempatkan di luar negara atas sebab kerja serta tiada pilihan untuk belajar atau kerja dari Singapura.

"Mereka yang mahu melakukan perjalanan ke luar negara untuk menziarahi atau menjaga keluarga dekat yang sakit teruk atau mendapatkan 'rawatan perubatan yang tiada di Singapura', juga akan dipertimbangkan.

"MOH akan menilai permohonan rayuan 'berdasarkan sebab dan keadaan mendesak'.

"Kita juga meminta rakyat Singapura supaya bersabar dan memahami bahawa kita perlu memberi keutamaan (vaksin Covid-19) kepada mereka yang betul-betul memerlukannya," menurut MOH.

Sebelum ini, kementerian itu berkata, mereka yang merancang untuk mengemukakan rayuan bagi menerima suntikan vaksin awal perlu memikirkan tempoh yang diperlukan untuk melengkapkan dos vaksinasi.

Vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna yang digunakan di Singapura memerlukan dua dos secara berasingan antara jarak tiga hingga empat minggu.

Menurut kenyataan MOH itu, vaksin itu akan 'berkesan sepenuhnya' dua minggu selepas dos kedua.

"Orang ramai harus mengemukakan rayuan mereka lapan minggu lebih awal dan mereka yang berjaya akan dimaklumkan menerusi emel," katanya.

Sementara itu, MOH berkata, kementerian itu sudah menerima empat permohonan lengkap bagi program bantuan kewangan untuk mereka yang mengalami kesan sampingan teruk berkaitan vaksin Covid-19 di Singapura.

Permohonan dibuka pada 17 Mac lalu bagi Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin bagi Vaksinasi Covid-19 (VIFAP).

Menurutnya, empat permohonan itu akan dikaji bagi kelayakannya dan turut menerima 13 permohonan lagi yang sebelum ini memerlukan maklumat tambahan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 6:31 AM