MARINA Bay, Singapura. FOTO AFP
MARINA Bay, Singapura. FOTO AFP
Agensi

Singapura: Rakyat negara ini yang mengalami kesan sampingan yang serius berkaitan dengan vaksinasi Covid-19 boleh memohon bantuan kewangan, mulai hari ini.

Ia adalah inisiatif di bawah Program Bantuan Kewangan Vaksin untuk vaksinasi Covid-19 (Vifap) dan permohonan perlu disertakan dengan maklumat perubatan mengenai kesan sampingan serius dari doktor yang merawat.

The Straits Times melaporkan, mereka yang memerlukan rawatan di hospital termasuk perubatan, dan yang kemudiannya pulih, akan menerima 2,000 dolar Singapura (kira-kira RM6,121).

Mereka yang dimasukkan ke wad rawatan rapi dan seterusnya pulih akan mendapat 10,000 dolar Singapura (kira-kira RM30,601).

Bagi mereka yang meninggal dunia atau mengalami kecacatan teruk yang berterusan akibat vaksinasi akan mendapat 225,000 dolar Singapura (kira-kira RM688,592).

Panel klinikal bebas akan meneliti semua permohonan untuk melihat kesannya dan apa kaitannya dengan vaksin yang diterima.

Jumlah pembayaran adalah berdasarkan kesan sampingan yang disebabkan oleh vaksin.

Kementerian itu sudah mengumumkan dua tahap pembayaran yang lebih tinggi pada 28 Januari lalu.

Semalam, kementerian memaklumkan pembayaran 2,000 dolar Singapura, selain dua tahap lain, bertujuan memperkuat sokongan diberikan kepada individu yang mengalami kesan sampingan serius akibat vaksinasi.

"Vifap bukan untuk mengganti perbelanjaan perubatan, tetapi tambahan bantuan kewangan di atas skim pembiayaan penjagaan kesihatan kerajaan yang ada meliputi subsidi, MediShield Life, MediSave dan MediFund," kata kenyataan itu.

Program ini terbuka untuk warganegara Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang menerima suntikan di negara itu.

Ia pertama kali diumumkan Januari lalu untuk memberikan jaminan kepada mereka yang akan mengambil vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 4:05 PM