LATIF memakai tanjak bendera Malaysia di hadapan  rumahnya yang turut dihiasi  Jalur Gemilang.
LATIF memakai tanjak bendera Malaysia di hadapan rumahnya yang turut dihiasi Jalur Gemilang.
BERNAMA

Kuala Pilah: Menjadi kelaziman sejak 12 tahun lalu, Mohamad Latif Atan akan mengekspresi semangat cintakan negara dengan menghiasi ratusan bendera Jalur Gemilang di halaman rumahnya di Kampung Tanjung Ipoh, dekat sini, setiap kali menjelang bulan Kemerdekaan.

Pesara kerajaan berusia 64 tahun itu dan isteri, Rahimah Abu Bakar, 60, mula mengumpul bendera ketika masih berkerja dan kini mempunyai kira-kira 200 bendera pelbagai saiz dengan perbelanjaan RM500.

"Setiap kali menerima gaji, saya beli bendera sedikit demi sedikit, mengumpul bendera ini adalah hobi, dengan cara ini saya dapat zahirkan penghargaan kepada perjuangan masyarakat terdahulu yang mempertahankan kedaulatan negara," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, menjadi kepuasan serta kebanggaan pada dirinya apabila melihat Jalur Gemilang berkibar megah di halaman rumahnya yang dipasang bermula 1 Ogos sehingga 16 September setiap tahun.

Selain memasang bendera di halaman rumah, bapa kepada tiga orang anak itu mempunyai kreativiti tersendiri, boleh membuat pakaian, payung dan topi menggunakan Jalur Gemilang untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan.

"Semasa pandemik ini kita tidak boleh menyambut secara besar-besaran dengan berhimpun tetapi kita boleh sambut secara sendiri di rumah masing-masing seperti memasang bendera dan memakai pakaian tradisional," katanya.

Sementara itu, pesara tentera, Nasharudin Zakaria, 55, dari Johol, dekat sini, menghiasi warung Mak Dara milik keluarganya dengan memasang lebih 30 Jalur Gemilang serta 14 bendera setiap negeri.

Nasharudin berkata, amalan itu sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu untuk menyerlahkan semangat patriotik.

"Tahun ini saya sudah membelanjakan kira-kira RM200 untuk membeli bendera dan tiada masalah untuk mengeluarkan modal sendiri sempena Hari Kemerdekaan. Bendera akan dipasang sehingga sambutan Hari Malaysia 16 September nanti," katanya.

Katanya, pemasangan bendera itu juga dapat menarik perhatian pelanggan datang membeli juadah makanan di warung berkenaan.

Nasharudin berkata, meskipun tiada perarakan atau program kemerdekaan secara bersemuka seperti tahun sebelumnya namun semangat kemerdekaan masih boleh dipupuk menerusi aktiviti pemasangan bendera di kenderaan dan bangunan.

Sikap terpuji Nasharudin itu turut dicontohi anak saudaranya, Nor Izzah Syazana Abdul Talib, 24, yang mempunyai minat sama mengumpul bendera untuk dipasang di warung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 7:01 AM