Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Memasang Jalur Gemilang dan bendera Pulau Pinang di kiri dan kanan jalan raya di depan rumah menjadi pilihan sebuah keluarga di Kampung 20, Pasir Gebu di sini, untuk menzahirkan semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 tahun ini.

Ibrahim Yahya, 57, bersama ahli keluarganya memasang lebih 320 helai bendera pelbagai saiz di jalan raya sepanjang kira-kira 30 meter di hadapan kediamannya sebagai usaha memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Katanya, berbanding dengan tahun-tahun lalu dia hanya memasang lebih 10 bendera sahaja dalam kawasan rumahnya, bagaimanapun tahun ini mereka sekeluarga mengambil inisiatif bukan sahaja menghiasi kawasan rumah sebaliknya juga jalan raya di hadapan kediamannya.

"Sejak 10 tahun lalu kami sekeluarga memang tidak ketinggalan memasang bendera terutama ketika menyambut Hari Kebangsaan untuk menzahirkan demi semangat cintakan negara.

"Tahun ini kami membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli bendera dan ia amat berbaloi apabila usaha kami ini mendapat perhatian penduduk kampung yang ada memberhentikan kenderaan untuk mengambil gambar.

"Bendera yang dipasang di kiri dan kanan jalan dipastikan ia tidak akan mengganggu penglihatan pengguna jalan raya dan memasangnya di tempat yang sesuai," katanya ketika ditemui.

Ibrahim Yahya, 57, (kiri) dia sekeluarga membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli bendera Jalur Gemilang dan negeri Pulau Pinang menghiasi kawasan jalan raya di hadapan rumah mereka   bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan di Kampung 20, Pasir Gebu di sini. FOTO DANIAL SAAD
Ibrahim Yahya, 57, (kiri) dia sekeluarga membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli bendera Jalur Gemilang dan negeri Pulau Pinang menghiasi kawasan jalan raya di hadapan rumah mereka bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan di Kampung 20, Pasir Gebu di sini. FOTO DANIAL SAAD

Menurut bekas konduktor bas itu, semua bendera berkenaan dipasang sepanjang 1 Ogos sehingga 16 September sempena menyemarakkan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

"Tahun ini negara kita masih dilanda pandemik Covid-19 dan sambutan sedikit suram tidak lagi seperti selalu.

"Oleh itu, tahun ini kami mengambil inisiatif berbeza sedikit untuk memberikan keceriaan dan menaikkan semangat patriotik walaupun negara sedang bergelut dengan cabaran wabak Covid-19," katanya.

Ibrahim berkata, dia yang tidak mampu melakukan kerja berat akibat penyakit kencing manis dan buah pinggang dibantu isteri, anak dan menantunya.

"Pergerakan saya agak terbatas dan memerlukan bantuan ahli keluarga lain yang saya bersyukur mereka sentiasa mempunyai minat seperti saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 12:39 PM