SEBANYAK 14 juta tan sampah setahun dijangka akan dikutip menjelang 2022.
SEBANYAK 14 juta tan sampah setahun dijangka akan dikutip menjelang 2022.
Muhammad Saufi HassanNor ‘Asyikin Mat Hayin dan Muhamaad Razis Ismail dan Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: Dianggarkan 14 juta tan sampah setahun akan dikutip menjelang 2022.

Itu anggaran yang boleh dibuat berdasarkan kepada trend pungutan sampah setiap hari di seluruh negara yang merekodkan peningkatan sejak 2012 sehingga tahun lalu.

Trend peningkatan itu akan terus berlaku berdasarkan kepada petunjuk pertambahan populasi penduduk iaitu 1.8 peratus.

Pengarah Institut Lautan dan Sains Bumi, Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sumiani Yusoff berkata, anggaran penjanaan sisa pepejal di negara ini pada tahun lalu adalah 38,081 tan sehari dan angka itu terus meningkat pada tahun ini iaitu kutipan 38,699 tan sehari.

Sumiani berkata, jika dilihat pada angka tahunan menunjukkan, pada tahun lalu saja, penjanaan sampah adalah sekitar 13 juta tan membabitkan pelbagai kategori sisa buangan.

"Masalah yang paling ketara di negara ini adalah jumlah tapak pelupusan sanitari dengan fasiliti kawalan pencemaran adalah jauh lebih kecil daripada jumlah tapak pelupusan bukan sanitari.

"Tapak pelupusan sanitari baru kesemuanya terpaksa dibina di kawasan luar bandar.

"Maka kos penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan bandar akan meningkat, begitu juga dengan pelepasan gas rumah hijau serta penggunaan tenaga yang banyak untuk penghantaran sisa pepejal dari kawasan bandar ke tapak pelupusan," katanya.

Dr Sumiani berkata, dianggarkan 95 peratus daripada sisa pepejal yang dikutip dilupuskan dalam tapak pelupusan sampah.


Pada masa sama, kata Dr Sumiani, lima peratus sampah pula dihantar ke loji rawatan thermal berskala kecil di beberapa negeri.

"Bahan kitar semula yang dikutip oleh pengusaha kitar semula tidak dimasukkan dalam anggaran berkenaan.

"Tanpa kaedah atau teknologi pengurusan sisa pepejal lain, keperluan terhadap pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal akan terus meningkat dengan peningkatan jumlah kutipan sampah di seluruh Malaysia," katanya.

Mengulas berhubung kaedah terbaik pengurusan sisa pepejal, Dr Sumiani berkata, terdapat beberapa teknologi hijau sudah beroperasi atau akan beroperasi di seluruh negara.

Menurutnya, skala kapasiti teknologi ini adalah jauh lebih kecil dibandingkan dengan jumlah kutipan sampah seharian di negara ini.

"Kejayaan atau kesesuaian teknologi hijau kebanyakannya bergantung kepada kualiti sampah yang dirawat. Contoh, sampah yang kering sesuai untuk loji rawatan termal, sampah organik tanpa plastik sesuai untuk pencernaan aerobik.

"Maka, faktor kejayaan untuk pelaksanaan sesuatu teknologi hijau adalah program kutipan sampah yang sesuai dengan teknologi hijau dan juga program pengasingan sisa pepejal di punca oleh penjana-penjana sisa pepejal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 1:15 PM