LONGGOKAN sampah dan barang rosak akibat banjir di Kampung Kasipillay, 26 Disember lalu. FOTO Faris Fuad
LONGGOKAN sampah dan barang rosak akibat banjir di Kampung Kasipillay, 26 Disember lalu. FOTO Faris Fuad
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Sebanyak 631.6 tan sisa pukal banjir dikutip sejak 20 Disember lalu di 14 kawasan terbabit banjir di sekitar ibu kota menerusi Operasi Pembersihan Pasca Banjir Kuala Lumpur.

Kawasan terbabit adalah Kampung Kasipillay, Kampung Pasir, Kolam Air, Petaling Bahagia, Jalan Batu Bata, Kampung Periuk, Kampung Hock An, Tiong Nam, Masjid Jamek, Jalan Ipoh, Jalan Raja dan Jalan Tun Perak, Jalan Putra, Jalan Tun Razak serta Jalan Pahang.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan Ummi Kalthum Shuib berkata, proses pembersihan sisa banjir di kawasan terbabit banjir itu siap 100 peratus.

"Semua sisa pukal yang dikeluarkan akan dikutip mengikut jadual operasi biasa oleh Alam Flora Sdn Bhd (AFSB).

"Ia kemudian diangkut ke Stesen Pemindahan Kuala Lumpur (KLTS) di Taman Beringin, lalu dikompakkan ke dalam 'prime mover' atau dimuatkan ke 'super roro' sebelum dihantar ke Tapak Pelupusan Bukit Tagar," katanya.

Ummi Kalthum berkata, semalam, pihaknya juga terpaksa meminta bantuan daripada Balai Polis Cheras bagi membantu mengeluarkan kira-kira satu tan sisa sampah yang disimpan pemilik sebuah rumah sejak 10 tahun lalu.

Katanya, hari ini, pihaknya dijangka mengeluarkan kira-kira dua tan lagi sampah dari rumah berkenaan dengan menggunakan dua tong 'roro' dan satu 'open tipper'.

"Jika penduduk di ibu kota mendapati sisa tidak dikutip mengikut jadual, mereka boleh memaklumkan di talian 03-22459292," katanya.

Bagi pihak swasta pula, katanya, ia tertakluk kepada Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Skim bagi sisa pepejal komersial, perindustrian dan keinstitusian 2018 (CII).

"Pihak berkenaan yang terjejas dengan banjir perlu memastikan sisa banjir turut diangkut oleh pengutip sisa yang dilesenkan," katanya.

Ummi Kalthum turut menasihati orang ramai supaya mengubah sikap dengan tidak lagi membuang sampah merata-rata dan hanya membuang sampah ke dalam tong yang disediakan bagi memudahkan urusan kutipan.

"Ini termasuk tidak mencampur sisa dan mula membuat pengasingan kerana daripada membiarkan sisa di hantar ke tapak pelupusan, kita oleh berubah menjadi Gen-Re atau generasi yang mengitar semula," katanya.

Beliau berkata, penduduk Wilayah Persekutuan wajib melaksanakan pengasingan di punca (separation at source (SAS)).

Katanya, SWCorp akan memeriksa semua rumah dan kawasan badan pengurusan bersama (JMB) di rumah tidak bertanah bagi memastikan SAS dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Kompaun SAS akan dikenakan jika penduduk tidak mengikut peraturan," katanya.

Sementara itu, katanya, penduduk yang kehilangan tong sampah hijau kerana dihanyutkan banjir perlu melaporkan kepada SWCorp Wilayah Persekutuan dengan kadar segera.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi talian 03-22459292 atau menghantar pesanan di talian 019-4460300 atau 016-8655313.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 1:28 PM