RAP HM

Kuala Lumpur: Penyanyi rap dan aktivis, Caprice, 32, tampil memohon maaf kepada pembesar, pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia di atas segala kesilapannnya kerana terlalu beremosi dalam usaha menjalankan misi bantuan ke Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dalam hantaran dimuat naik di Instagram memaklumkan apa yang berlaku sehingga hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu adalah berpunca dari kesilapan dirinya dan tiada kaitan dengan pihak lain.

"Saya mohon maaf atas kesilapan saya di mana kita terlalu emosi mengenai pejuang kita demi ummah, Palestin dan rakyat Malaysia. Apa yang berlaku adalah kesilapan saya sendiri dan tidak terbabit pihak lain.

"Saya juga minta maaf kepada ibu dan ayah kerana membuatkan mereka risau mengenai keselamatan saya selama ini. Saya sayang kamu dan apa yang saya lakukan adalah untuk membuat kamu bangga," katanya.

Selain itu, Caprice juga berterima kasih dengan pihak kerajaan, Kedutaan Malaysia di Mesir serta kerajaan Mesir di atas segala layanan, sokongan dan perlindungan keselamatan selama 24 jam sepanjang dia berada di negara itu, termasuk buat semua pihak yang sudah membantunya.

Caprice juga memaklumkan dia akan pulang ke tanah air selepas menyelesaikan segala urusan serta melunaskan janjinya kepada warga Palestin.

Menerusi hantaran permohonan maaf dibuat itu, kebanyakan netizen menyambut baik dan mendoakan Caprice sentiasa dilindungi serta segala urusannya di permudahkan oleh Allah.

Terdahulu, sejak beberapa hari lalu kecoh di media sosial mengenai perbalahan antara Caprice dengan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew sehingga dia ingin mendedahkan sesuatu mengenai kehadiran Ebit bersama pasukannya di Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Caprice memberitahu pendedahan itu akan dibuatnya pada Rabu ini dan ia ditunggu-tunggu oleh warganet. Justeru, dengan permohonan maafnya netizen kini tertanya-tanya apakah penjelasan lanjut dijanjikan Caprice sebelum ini akan tetap dilakukannya?

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 9:58 AM