Caprice
Caprice
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi rap dan aktivis, Caprice, 32, akan melunaskan janjinya kepada warganet untuk muncul di Instagram Live jam 10 malam ini bagi menjernihkan keadaan berkaitan kemelut hangat yang ditimbulkannya, baru-baru ini.

Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli dalam hantaran di Instagram Story berkata, dia akan muncul untuk membuat penjelasan sekali gus menutup buku dengan apa yang sudah berlaku.

"Cara saya pun silap. Saya harap selepas muncul dalam Instagram Live malam ini, kita dapat tutup buku dan jalan terus ke depan.

"Tak apalah, Islam pun ajar kita untuk minta maaf jika melakukan kesilapan dan maafkan orang. Jumpa malam ini," tulisnya.

Menurutnya, dia juga banyak menerima permohonan maaf daripada netizen yang mengirim mesej kepadanya serta bertindak sudah memaafkan mereka semua.

"Banyak yang hantar mesej langsung minta maaf secara tiba-tiba. Dengan hantaran ini, terus-terang saya sudah memaafkan semua yang caci dan maki saya.

"Alhamdulillah, saya banyak belajar mengenai kesabaran, perjuangan dan Palestin sejak kisah saya menjadi tular. Saya sangat bersyukur atas perjalanan ini dan tidak akan berhenti berjuang," tulisnya.

Terdahulu, netizen juga memberi perhatian terhadap penulisan dibuat seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Semenanjung Gaza iaitu Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri di saluran Telegram miliknya yang tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku ketika kunjungan misi bantuan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew bersama pasukannya, baru-baru ini.

Menurut Caprice, tindakan dilakukan Nadir adalah matang berbanding dirinya yang terlalu mengikut emosi dan dipengaruhi perasaan marah.

Terdahulu, penyanyi lagu Chikaro dan Baby Sayang ini pernah memaklumkan di Instagram dia mahu membuat pendedahan mengenai kisah di sebalik kontroversi tercetus untuk misi bantuan ke Gaza itu jam 10 malam ini.

Ia berikutan tercetus kemelut di antara Caprice dan Ebit yang didakwa berpunca daripada teguran diberinya menerusi rungutan diterima daripada penduduk Gaza mengenai cara dermawan itu menghulur bantuan termasuk perkongsian gambar kanak-kanak miskin di media sosial.

Bagaimnapun, pada Isnin lalu, Caprice tampil membuat permohonan maaf di Instagram kepada pembesar negara, pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia di atas isu yang timbul disebabkan kesilapannya sendiri dan tiada kaitan dengan pihak lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 5:21 PM