PROGRAM vaksinasi di sebuah pusat vaksinasi luar bangunan di dataran Republique, Paris. FOTO AFP
PROGRAM vaksinasi di sebuah pusat vaksinasi luar bangunan di dataran Republique, Paris. FOTO AFP
BERNAMA

Paris: Kes penularan varian Delta yang sedang merebak di Perancis menyumbang 20 peratus kepada kes baharu di negara itu, lapor Agensi Anadolu (AA) kata Menteri Kesihatan, Olivier Veran.

"Varian itu menyumbang 20 peratus dalam kes baharu Covid-19 ... dan bersifat dominan kerana lebih cepat menular," katanya dalam taklimat terkini mengenai varian itu pada Selasa.

Menurutnya, walaupun jangkitan virus menunjukkan trend penurunan dan anggaran kes baharu setiap hari semakin berkurang, kadar kes jangkitan disebabkan varian itu kian meningkat.

Setakat ini, sebanyak 500 kes baharu Covid-19 direkodkan di Perancis.

Varian Delta, pertama kali dikenal pasti di India, sehingga kini sudah merebak sekurang-kurangnya di 85 negara, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penularan varian itu di United Kingdom (UK) membantutkan usaha menarik balik sekatan pergerakan meskipun kempen vaksinasi besar-besaran dilakukan.

Veran berkata, Perancis memantau rapat perkembangan di UK, dengan lebih 23,000 kes varian Delta dikesan pada Isnin.

Di Perancis, kes berkaitan varian itu dikenal pasti berpunca dari jabatan Landes.

Beliau menasihati orang ramai terus berwaspada walaupun lebih 50 peratus penduduk dewasa – 33,378, 429 sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Jika kita semua sudah terima suntikan, tidak bermakna tiada lagi penularan virus, tetapi impak terhadap kesihatan akan menjadi sifar," ujarnya.

Beliau menyeru rakyat Perancis yang belum disuntik vaksin untuk mendapatkan segera suntikan bagi mencegah gelombang baharu pandemik.

Kerajaan sedang mempertimbang memberi suntikan ketiga kepada warga emas di rumah jagaan pada September untuk perlindungan dan membantu meningkatkan imuniti bagi mengurangkan peningkatan kes varian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 3:28 PM