Foto hiasan
Foto hiasan
AFP

Paris: Varian Delta dikenal pasti mengakibatkan lonjakan kes baharu Covid-19 di serata dunia termasuk di negara yang merekodkan kadar vaksinasi tinggi.

Pakar memberi amaran bahawa pelaksanaan kempen imunisasi kini berdepan kesuntukan masa bagi mengekang varian mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi itu.

Ketika ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan angka terendah kes baharu di seluruh dunia sejak Februari lalu, malah bilangan kematian baharu akibat wabak itu turut menurun.

Bagaimanapun, kebimbangan kian memuncak berhubung ancaman varian Delta sehingga mendorong pelaksanaan sekatan baharu di sebilangan negara yang sebelum ini berjaya mengawal penularan wabak Covid-19.

"Wujud kebimbangan besar di serata dunia berhubung varian Delta dan WHO juga khuatir mengenainya.

"Delta adalah varian dikenal pasti paling mudah menular, setakat ini. Ia dikesan di sekurang-kurang 85 negara dan sedang merebak dengan pantas dalam populasi yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Kita mulai menyaksikan peningkatan jangkitan di serata dunia ketika beberapa negara bertindak melonggarkan sekatan sosial dan kesihatan awam," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika sidang media, semalam.

Jangkitan Covid-19 dilaporkan melonjak termasuk di Russia, Australia, Israel dan sebahagian Afrika, akibat perebakan varian Delta sekali gus menambahkan lagi kebimbangan negara lain akan ancaman itu.

Pusat Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menjangkakan varian terbabit boleh menjadi punca 70 peratus jangkitan baharu di Kesatuan Eropah menjelang awal Ogos depan dan meningkat kepada 90 peratus pada akhir bulan itu.

Media Amerika Syarikat (AS) sebelum ini melaporkan pakar terkemuka, Anthony Fauci turut menyifatkan varian Delta sebagai 'ancaman terbesar' kepada usaha mengekang wabak Covid-19 sekali gus menggesa usaha vaksinasi dipercepatkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 1:40 PM