GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Kampala: Polis menahan dua jururawat dan memburu seorang lelaki yang menyamar berpakaian doktor dan menjual serta mengendalikan pemberian vaksin kepada ratusan orang.

Doktor palsu itu berjaya meyakinkan beberapa syarikat untuk membiayai pemvaksinan pekerja mereka, lapor Independent.

Dia mengenakan bayaran 20 Pound Sterling sehingga 41 Pound Sterling (kira-kira RM115 hingga RM235) untuk setiap suntikan.

Ketua Unit Pemantau Kesihatan Awam di pejabat presiden Dr Warren Naamara berkata, ia adalah satu penipuan yang jelas untuk mendapatkan wang.

"Kami mengesyaki dia menyuntik orang dengan air kerana ia tidak berwarna, tidak berbau dan tidak berbahaya.

"Kami masih memburunya dan menangkap dua jururawat yang bekerja dengannya," katanya.

Dokumen yang dirampas menunjukkan sekurang-kurangnya 812 orang sudah divaksin namun percaya jumlah itu mungkin lebih banyak.

Semasa serbuan, pihak berkuasa menemui botol yang mempunyai label vaksin palsu dan maklumat penghantaran yang salah.

Penularan dan kematian akibat Covid-19 di Uganda semakin meningkat sejak Mei dengan varian delta menyumbang kepada gelombang jangkitan kedua.

Kempen vaksin yang bermula pada Mac lalu terjejas kerana tiada bekalan Covax mencukupi, yang dihasilkan khusus untuk negara berpendapatan rendah.

Kesannya, orang ramai beratur panjang sepanjang hari untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:30 AM