GAMBAR fail. FOTO NSTP
GAMBAR fail. FOTO NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Wanita yang menerima suntikan vaksin Covid-19 berbeza akibat kesilapan jururawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Al-Hana di Sik pada Ogos lalu, dilaporkan sihat.

Anak wanita terbabit, Nur Jannah Ramli, 30, berkata, ibunya yang berusia 58 tahun dan menetap di Kampung Selamat B, tidak mengalami sebarang kesan sampingan lain selepas disuntik vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

"Alhamdulillah tak ada apa-apa, emak sihat dan tak alami kesan sampingan selepas kesilapan pemberian vaksin.

"Pihak PPV Sik pun ada hubungi emak bertanya mengenai keadaan kesihatannya, emak beritahu semuanya sihat sahaja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 8.25 pagi 5 Ogos lalu, jururawat bertugas di Bilik Suntikan 1 PPV Dewan Al Hana, Sik, melakukan kesilapan dalam pemberian vaksin ke atas wanita itu.

Wanita terbabit sepatutnya menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech, namun tersilap diberi suntikan vaksin Sinovac.

Berikutan itu, pada 10 Ogos lalu, media melaporkan Pengarah Jabatan Kesihatan (JKN) Negeri, Dr Othman Warijo memaklumkan, jururawat berkenaan sudah memohon maaf secara peribadi kepada penerima terbabit.

Katanya, jururawat itu mengakui kesilapan dilakukannya, sekali gus diberi teguran, kaunseling dan direhatkan daripada tugasan pada hari berkenaan.

Hasil siasatan JKN Kedah mendapati kesilapan itu berlaku disebabkan jururawat terbabit tidak memeriksa kad suntikan vaksin wanita berkenaan sebelum memberikan dos kedua.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 12:54 PM