Penerima vaksin tidak melepaskan peluang apabila mendapat kebenaran untuk merakam gambar dan video ketika disuntik sebagai bukti bahawa mereka telah disuntik dengan sempurna. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Penerima vaksin tidak melepaskan peluang apabila mendapat kebenaran untuk merakam gambar dan video ketika disuntik sebagai bukti bahawa mereka telah disuntik dengan sempurna. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Kuala Lumpur: Penerima vaksin dibenarkan mengambil video suntikan mereka ketika proses vaksinasi dijalankan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin berkata, pemberi vaksin pula perlu menunjukkan picagari mengandungi cecair pelalian vaksin berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu antara prosedur operasi standard (SOP) tambahan yang baru dilaksanakan.

"Ia susulan tular di media sosial mendakwa diberikan 'vaksin angin'. Setakat ini hanya satu kes membabitkan kecuaian pemberian 'vaksin angin' yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah.

"Namun begitu, saya tetap menganggapnya sebagai kes yang serius.

"Kecuaian jururawat ini disebabkan keletihan dan dia (jururawat) sudah diberi amaran oleh panglima kem tentera terbabit di samping akan dikenakan tindakan tatatertib Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam temu bual bersama media secara maya.

Menurutnya, dua kes lain tidak konklusif, tetapi pemberi vaksin sudah memberikan vaksin tambahan kepada penerima vaksin itu.

"Berdasarkan kejadian tiga kes ini, tidak adil menyalahkan semua pihak yang terbabit dalam Pick terutama petugas barisan hadapan.

"Ini kerana mereka (pertugas barisan hadapan) bertungkus-lumus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, selain sanggup merisikokan diri bertugas di PPV," katanya.

Khairy berkata, setakat ini ada 13 kes 'vaksin angin' dan sebahagian besar kes itu tiada bukti bahawa tiada suntikan berlaku.

"Pengadu yang membuat laporan polis menyatakan tangan mereka tidak berasa kebas selepas divaksinasi.

"Namun siasatan polis menunjukkan doktor dan jururawat mengesahkan ada proses vaksinasi ke atasnya.

"Kesan sampingan dialami penerima vaksin berbeza dan jangan anggap jika tidak mengalami sebarang kesan itu, maka diberikan 'vaksin angin'," katanya.

Katanya, perkara ini menjadi 'kecoh' disebabkan budaya penyebaran maklumat palsu di Malaysia tinggi.

Dalam pada itu Khairy berkata, kes 'vaksin angin' ini tidak ada kaitan dengan dakwaan kegiatan menjual vaksin secara haram.

"Kerajaan memandang serius perkara ini dan percaya Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah membuat laporan polis.

"Kertas siasatan sudah diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 7:00 AM