Guilherme de Paula. FOTO IHSAN FAM
Guilherme de Paula. FOTO IHSAN FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Mental dan psikologi penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula tidak pernah terganggu meskipun dia hebat dikritik peminat bola sepak tempatan berikutan aksi longlai ketika skuad Harimau Malaya tumbang 0-4 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 minggu lalu.

Jelas pemain kelahiran Brazil itu, dia tidak pernah menyesal beraksi buat Malaysia dan mengambil kecaman yang dilemparkan di atas bahunya secara positif.

Malah, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu juga menganggap segala kritikan tidak pernah melunturkan semangat sebaliknya meningkatkan lagi motivasinya untuk memberikan sesuatu apabila turun menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Sabtu ini.

"Saya tahu harapan penyokong sangat tinggi ke atas pemain naturalisasi. Tapi saya ambil setiap kritikan untuk buktikan sesuatu.

"Bagi saya ia normal (kritikan) dalam bola sepak, apa yang mustahak saya kena bangkit dan tutup kritikan," katanya pada sidang media secara maya, semalam.

Katanya, tuduhan segelintir netizen di laman sosial yang mendakwa dirinya tiada semangat kebangsaan ketika menyarung jersi Malaysia tidak berasas sambil mengakui dia bermain demi lencana di dada.

"Saya tak tahu apa yang dikatakan tiada semangat. Itu pandangan peminat dan bagi saya ia normal...saya tahu apa yang sudah saya berikan ketika perlawanan.

"Setiap kali saya bermain tidak kira untuk pasukan mana, saya sentiasa berikan sepenuhnya jiwa dan raga. Tiada jalan pintas untuk berjaya, sebaliknya kita kena sentiasa berusaha untuk meraih keputusan positif," kata bekas pemain Perak dan Kuala Lumpur itu.

Selepas tewas kepada UAE sebelum ini, skuad negara wajib memungut tiga mata penuh pada aksi menentang Vietnam bagi mencerahkan peluang pasukan untuk layak ke peringkat seterusnya.

Ditanya mengenai pertemuan dengan skuad Naga Emas itu, De Paula percaya skuad kendalian Tan Cheng Hoe mampu melakukan kejutan ke atas lawan itu.

"Kita tahu apa yang kita nak buat, keputusan positif amat penting ketika ini. Vietnam sebuah pasukan yang baik dan mereka beraksi cukup tersusun dalam aksi terdahulu.

"Kita kena bijak menghidu peluang dan pasukan akan cuba lakukan sebaik mungkin untuk beri kegembiraan kepada peminat di samping meningkatkan motivasi menjelang aksi seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:00 AM