Nuraliawati Sabri


Melaka: "Sebagai kakak, sudah pasti hati saya tersentuh apabila adik bertanyakan hal berkaitan sekolah, tetapi apakan daya saya.

"Harapan saya cuma kami adik beradik diberi peluang untuk bersekolah seperti rakan lain," luah Nul Aziza Rosani, 14, kakak sulung kepada enam beradik yatim piatu, hari ini.

Enam beradik berusia antara enam hingga 14 tahun itu kini menumpang kasih dengan ibu saudaranya yang juga orang kurang upaya (OKU) selepas pemergian kedua ibu bapa mereka.

"Selepas ibu meninggal pada 2016, kami tinggal bersama bapa, namun kami sekali lagi diuji apabila bapa meninggal dunia pada Januari lalu akibat terjatuh ketika bekerja.

"Saya pernah bersekolah agama sehingga darjah enam sebelum ini, namun disebabkan terdapat masalah, persekolahan di peringkat menengah tidak dapat diteruskan, saya pun tidak tahu kenapa," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali meluangkan masa menziarahi serta menyampaikan sijil lahir kepada enam beradik itu di rumah sewa mereka di Kampung Tangga Batu, di sini, hari ini.

Beliau memberi jaminan semua anak yatim itu akan memulakan persekolahan sebaik sahaja sekolah dibuka seperti biasa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, pihaknya sudah memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri agar menempatkan adik beradik itu di sekolah berdekatan dengan kediaman mereka.

ENAM beradik yatim piatu menunjukkan sijil kelahiran diterima mereka di Kampung Pekan Tangga Batu, Melaka, hari ini. FOTO SYAFEEQ AHMAD
ENAM beradik yatim piatu menunjukkan sijil kelahiran diterima mereka di Kampung Pekan Tangga Batu, Melaka, hari ini. FOTO SYAFEEQ AHMAD

"Selain itu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan membantu dalam hal berkaitan dokumentasi. Ini penting bagi memastikan mereka mendapat pendidikan sewajarnya dan tidak tercicir kerana ada di antara mereka sudah dua tahun tidak bersekolah, malah ada yang tidak tahu membaca.

"Kita cadangkan mereka berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong atau Tehel, namun mereka lebih selesa tinggal di sini kerana berdekatan dengan saudara.

"Jadi kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) akan berbincang dengan pemilik tanah bagi urusan membina rumah baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 6:57 PM