Nor Azman (kanan) menunjukkan sijil kelahiran yang lengkap kepada Sulaiman (tengah) ketika membuat lawatan ke rumah enam beradik yatim piatu di Kampung Pekan Tangga Batu, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Nor Azman (kanan) menunjukkan sijil kelahiran yang lengkap kepada Sulaiman (tengah) ketika membuat lawatan ke rumah enam beradik yatim piatu di Kampung Pekan Tangga Batu, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Amir Mamat
am@hmetro.com.my


Melaka: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berjanji meneruskan usaha membantu enam anak yatim piatu yang tinggal di Kampung Tangga Batu Pekan, di sini untuk mendapatkan kediaman baharu.

Beliau berkata, ia susulan pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk mendirikan kediaman selesa untuk enam beradik terbabit di atas tanah milik kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

"Saya akan usahakan sehabis baik untuk memastikan enam anak yatim piatu itu mendapat kediaman selesa. Insya-Allah, dengan jaminan diberikan oleh Ketua Menteri semalam, saya yakin usaha ini tidak akan mengambil masa lama untuk diselesaikan.

"Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Sulaiman yang sangat prihatin terhadap golongan tidak bernasib baik ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Sulaiman menyerahkan sijil kelahiran kepada enam beradik terbabit dan berjanji menyediakan sebuah rumah baharu sumbangan kerajaan negeri menerusi LPM di lokasi berhampiran kediaman mereka sekarang.

Enam beradik itu turut diberi jaminan akan memulakan persekolahan sebaik sahaja sesi baharu dibuka selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Jabatan Pendidikan negeri juga sudah diminta supaya menempatkan adik-beradik terbabit di sekolah berdekatan dengan kediaman mereka.

Kesulitan kanak-kanak berkenaan untuk bersekolah timbul ekoran ketiadaan sijil kelahiran selepas kematian ibu bapa mereka awal tahun ini.

Sejak itu, kehidupan anak yatim piatu itu diurus oleh saudara mara serta jiran selain bantuan pimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor.

Susulan itu, Nor Azman berterima kasih kepada Sulaiman serta beberapa jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Jabatan Pendidikan negeri serta LPM yang turut membantu keluarga terbabit.

Sementara itu, bapa saudara kepada adik beradik itu, Jimy Labit, 48, terharu dengan pengumuman Sulaiman yang mahu menyediakan rumah baharu untuk mereka.

"Saya sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Tok Man (Nor Azman) yang banyak membantu anak saudara saya selama ini. Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 5:53 PM