DJ Cza
DJ Cza
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penerbit muzik, DJ Cza mendedahkan dia terpaksa kembali menghasilkan lagu selepas 10 tahun akibat kerjaya DJ tergendala sejak penularan Covid-19.

DJ Cza atau nama sebenarnya Ceza Mutyara berkata, itu adalah jalan terbaik demi kelangsungan kehidupan ketika berdepan situasi mencabar ini.

"Disebabkan pandemik sejak tahun lalu, kerjaya DJ tidak dapat diteruskan kerana larangan persembahan. Jadi, saya kena usahakan sesuatu untuk menggantikan kerjaya itu.

"Selama 10 tahun tidak menerbitkan lagu, akhirnya saya kembali ke studio. Lagu Veto yang baru-baru dilancarkan adalah lagu pertama dihasilkan selepas tempoh itu," katanya.

Bekas anggota kumpulan Ahli Fikir ini juga mengakui penghasilan lagu terutama untuk artis hip hop sekarang sudah berubah drastik.

Menurutnya, ia jauh lebih maju berbanding era pembabitannya sekitar awal tahun 2000 dulu.

"Memang ia sudah banyak berubah. Sekarang ini teknologi lagi maju dan sesiapa pun boleh belajar dengan mudah untuk hasilkan lagu menerusi pengetahuan dari Internet saja.

"Dulu, kami cuma bergantung kepada penjualan cakera padat (CD). Tapi sekarang, corak kerja sudah lain di mana setiap artis pun kena ada pengetahuan dalam perniagaan muzik," katanya ketika ditemui menerusi sidang media maya pelancaran lagu Veto, hari ini.

Dia turut bekerjasama dengan pendatang baharu, MK, Tuju K-Clique dan Loca B dalam lagu itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 5:17 PM