COVID-19, Muna akur tawaran persembahan nyanyian terjejas.
COVID-19, Muna akur tawaran persembahan nyanyian terjejas.
Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my


WALAUPUN nama penyanyi Muna Shahirah, 27, tidak begitu dikenali seperti Wany Hasrita, namun ia bukan alasan untuk dia berasa bakatnya jauh terpinggir.

Bagi Muna, setiap orang ada haluan masing-masing yang berbeza. Cuma untuk menyerlahkan bakatnya, dia harus terus berusaha.

Anak jati Johor ini sentiasa mengharapkan ada peluang tidak putus-putus buatnya pada masa akan datang.

Berbicara dilema dihadapinya sebagai penyanyi pada ketika masih dalam situasi pandemik Covid-19 ini, Muna berkata, semestinya pendapatan dalam nyanyian berkurangan.

Apatah lagi, sepanjang tempoh lebih setahun ini acara persembahan nyanyian di hadapan penonton tidak dibenarkan.

"Saya sebenarnya pernah rasa jatuh terduduk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama oleh kerajaan tahun lalu. Ketika itu, mulanya saya rasa tak tahu nak buat apa untuk berhadapan masalah pendapatan.

"Semua yang berlaku begitu pantas tanpa ada persediaan. Saya pula memang aktif menyanyi sepenuh masa dan selama beberapa tahun lalu memang bergantung pendapatan dengan menyanyi saja.

"Wang simpanan itu ada, tapi sampai bila boleh bertahan jika berterusan digunakan. Jadi, nak atau tidak saya kena fikir dan berusaha mencari alternatif untuk pendapatan baharu," katanya.

Menurut Muna atau nama sebenarnya Muna Shahirah Munadi, ketika di rumah dia banyak mengisi masa dengan aktif bermain permainan video.

"Kemudian terfikir pula nak cuba jadi 'streamer' kerana minat. Tak sangka pula percubaan itu berjaya dan mendapat sambutan. Alhamdulillah, dari situ saya berjaya mendapat sumber pendapatan baharu.

"Jadi, ia secara tidak langsung membantu saya keluar daripada permasalahan pendapatan terjejas yang difikirkan sebelum ini. Saya sangat bersyukur kerana Allah memberi cabang rezeki baharu selain menyanyi," katanya.

Menurut Muna, dia memang meminati permainan video sejak remaja dan diteruskan ketika menyambung pengajian Sarjana Muda Sains (Matematik) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dahulu.Katanya, ia adalah hobi utama pada masa lapang.Selain aktif 'streamer', Muna juga mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan. Jelas penyanyi lagu Teguh Setia dan Bagaimana ini, dia menyahut cabaran membintangi telefilem berjudul Bebenang PKP Anis.

CUBA berlakon, Muna beraksi kali pertama dalam telefilem Bebenang PKP Anis, baru-baru ini.
CUBA berlakon, Muna beraksi kali pertama dalam telefilem Bebenang PKP Anis, baru-baru ini.

Gembira berganding dengan pelakon Syafie Naswip dalam telefilem khas sempena Aidilfitri itu, Bebenang PKP Anis sudah ditayangkan di TV AlHijrah, baru-baru ini.

Muna juga bersyukur lakonannya tidak dikecam teruk netizen. Mengakui dia perlu berani mempelbagaikan bakat kemahiran diri, Muna berkata, rezeki dan segala kejayaan diperolehnya adalah atas restu ibu bapa. Memang niatnya untuk membahagiakan kedua-dua orang tuanya itu.

"Selama ini, apa yang saya buat memang mendapat sokongan ibu bapa. Mak saya, paling utama dan sentiasa ada bersama setiap masa. Saya bersyukur dikurniakan sebuah keluarga yang bahagia," katanya.

Bakal muncul juga dengan lagu baharu tidak lama lagi, Muna berharap lagu ciptaan komposer dan penyanyi Ikhwan Fatanna itu akan diterima baik peminatnya.

Menetap dengan ibu bapa

Muna yang sudah dua tahun tinggal bersama ibu bapanya di Mersing, Johor berkata, dia sudah puas hidup berdikari dengan berjauhan daripada keluarga sebelum ini.

Katanya, sejak sekolah menengah hingga melangkah ke universiti, dia sudah terbiasa menjalani kehidupan sendiri bersama rakan-rakan. Jadi, tiba masa pula menetap semula dengan ibu bapanya.

"Memandangkan mereka pun semakin berusia, maka ada baiknya kami tinggal bersama. Alhamdulillah, gembira sangat dan saya bersyukur kerana Allah masih beri peluang untuk saya tinggal bersama mereka.

"Saya juga ada misi besar untuk membahagiakan ibu bapa selagi berupaya dan diizinkan Allah. Saya kini gigih bekerja mengumpul pendapatan untuk mencapai impian membeli sebuah rumah buat kami sekeluarga," katanya.

Muna yang juga anak perempuan tunggal daripada tiga beradik berkata, kini dia juga lebih fokus memantapkan kerjayanya hingga stabil. Ia berikutan masih banyak impian ingin membahagiakan ibu bapa tersayang belum dapat ditunaikan.

Menurut Muna, dia juga tidak berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada usia sekarang. Dia yakin jodoh itu ada, tapi biarlah masa dan takdir Allah yang menentukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 6:00 AM