BERHARAP single Suratan Luka diterima luar biasa seperti Teguh Setia.
BERHARAP single Suratan Luka diterima luar biasa seperti Teguh Setia.
SELEPAS impak lagu Teguh Setia, Muna makin aktif atur langkah dalam industri muzik
SELEPAS impak lagu Teguh Setia, Muna makin aktif atur langkah dalam industri muzik
Georgie Joseph

SEMAKIN hari, nama penyanyi Muna Shahirah, 26, semakin menjadi bualan dalam industri muzik tempatan.

Bukan saja dia diakui seorang penyanyi yang bagus, potensinya menjadi pelapis dalam bidang seni suara juga sangat besar.

Muna atau nama sebenarnya Muna Shahira Munadir juga nampaknya semakin aktif mengatur langkah mengukir kukuh profil seninya.

Apa yang pasti, semangat juang bekas peserta Akademi Fantasia (AF) itu tidak akan pernah terhenti.

Justeru, Muna tidak kisah sekiranya dia masih dilihat sebagai pendatang baru dalam industri muzik walaupun hakikatnya sudah bertapak sejak enam tahun lalu.

“Saya pun tak sangka akhirnya nama mula menjadi sebutan sebab saya pun sudah berada dalam industri muzik sejak 2014. Rata-rata karier rakan seperjuangan lain di AF menjadi. Mungkin rezeki tidak berpihak pada masa itu dan saya tumpang gembira dengan kejayaan mereka.

“Masing-masing ada peluang sendiri manakala saya pula menyambung pengajian, sekali gus mengehadkan pergerakan saya. Memang sukar nak fokus penuh dalam nyanyian dan saya sekadar ambil tawaran menyanyi di acara universiti dan makan malam kecil-kecilan.

“Saya juga tidak kisah apabila dilabel sebagai Budak Baru Nak Up (BBNU). Biar mereka nampak saya seperti pendatang baru dalam industri muzik, tapi yang penting menerima dan meyakini bakat saya,” katanya.

Daripada sekadar penyanyi tempelan, Muna kini semakin mendapat tempat dalam industri muzik dari segi tawaran persembahan dan kemunculan program TV.

Perkara itu sangat disyukurinya apatah lagi dia ingin momentum kerjayanya terus meningkat.

Apapun, dia tidak menafikan sambutan luar biasa terhadap single keduanya iaitu Teguh Setia benar-benar membuka peluang yang lebih terbentang luas buatnya.

Disebabkan itu, dia tidak pernah merasa tersisih pun namanya lambat dikenali.

“Saya akui impak lagu Teguh Setia sangat menjadi dan sehingga kini masih ramai menyanyikan semula lagu saya itu. Kini, setiap hari sekurang-kurangnya ada dua atau tiga peminat yang ‘tag’ saya sama ada untuk video nyanyian semula mereka atau tengah mendengarnya.

“Impaknya belum terhenti walaupun lagu itu sudah lebih setahun berada di pasaran. Memang agak lambat sedikit impak itu hadir, tapi ia satu perasaan yang sangat indah buat saya.

MUNA ingin kekalkan momentum kerjaya dan terus tonjolkan kualiti diri.
MUNA ingin kekalkan momentum kerjaya dan terus tonjolkan kualiti diri.

“Apabila sudah dapat pendedahan sebegini, saya berazam mahu menggunakannya sebaik mungkin. Alhamdullilah, pengurusan saya iaitu FMC Music sangat membantu selain sokongan rakan media,” katanya.

Enggan cepat mendabik dada, Muna bagaimanapun mengakui lega apabila langkahnya semakin jelas untuk mencatur nama dalam persada muzik.

Baginya, misi pertama sudah menjadi kenyataan dan tidak akan berhenti mengejar misi seterusnya pula.

“Misi saya sejak awal bergelar penyanyi tidak lain untuk mempunyai satu atau dua lagu yang betul-betul meninggalkan impak dan disukai ramai. Waktu baru-baru masuk industri muzik, saya tidak faham bagaimana nak buat orang sukakan lagu saya.

“Bagaimanapun, penerimaan terhadap lagu Teguh Setia benar-benar memberi saya kepuasan tersendiri. Ia menjadi batu loncatan untuk saya melangkah satu tahap lagi dalam kerjaya nyanyian saya.

“Saya memang tidak sangka dan bersyukur membuatkan saya kini mengidam untuk melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) pula. Lagu itu berjaya ke separuh akhir Muzik Muzik 34 pun sudah sangat membanggakan,” katanya.

Baginya, pencapaian awal itu sebenarnya sudah cukup memadai untuk merasa satu kepuasan dalam kerjaya seninya.

Namun, dia percaya pencapaian itu terlalu kecil untuk jadi bekalan bertapak lama dalam industri muzik.

Dia mengakui perjalanannya masih terlalu jauh untuk melakar nama dan sedar banyak perkara lagi perlu dia buktikan.

Muna tidak mahu sekadar menjadi penyanyi yang senang dilupakan.

“Momentum kerjaya itu sangat penting apabila pencapaian itu membuka mata ramai. Baru peminat kenal saya penyanyi lagu itu dan perasan dengan kehadiran saya.

“Insya-Allah selepas ini, saya mahu menonjolkan diri lagi dan melihat kualiti bakat saya. Saya mahu pastikan diri akan sentiasa kekal relevan dan dapat diterima lama dalam industri muzik tempatan,” katanya.

Bercakap mengenai pencapaian, Muna tidak pernah menetapkan sebarang sasaran trofi mahupun kegemilangan apa yang perlu dicapainya.

Ini disebabkan dia sendiri akur rezeki ditetapkan untuk dalam industri muzik mungkin berbeza.

Justeru, dia lebih memikirkan bagaimana dia perlu mengekalkan kualiti dalam karyanya.

Tampil dengan single baharu awal tahun ini berjudul Suratan Luka, dia mengharapkan lagu itu terus meletakkan namanya dalam radar penyanyi yang relevan.

“Tidak kisahlah tidak meraih pencapaian luar biasa, asalkan nama masih jadi sebutan dalam industri muzik pun sudah memadai. Kalau boleh lagu baru saya berjudul Suratan Luka mampu memberi impak seperti Teguh Setia juga.

“Sebenarnya, secara peribadi saya sangat suka dan yakin dengan rentak keseluruhan lagu itu. Paling saya suka adalah bagaimana permainan emosi yang pelbagai dalam setiap lagu saya dan kalau boleh mahu sentiasa kekalkan kepelbagaian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 6:00 AM